OLEH ZUHAYATI YAZID
pengarang@utusan.com.my
Tahanan perang sedang melakukan
kerja-kerja mengangkat kayu untuk membina landasan kereta api pada 1942 sambil diperhatikan
tentera Jepun. - AGENSI
MUNGKIN ramai generasi muda
hari ini tidak mengikuti atau mengetahui tentang filem Bridge On River Kwai
keluaran Amerika Syarikat (AS) pada 1957, namun filem yang mengisahkan tentang
sekumpulan tahanan perang tentera British yang dijadikan 'hamba' dan 'buruh
paksa' merupakan sebuah filem hebat dalam kalangan generasi lama.
Filem itu mengisahkan
penderitaan ribuan tahanan yang didera sebagai buruh paksa untuk menyiapkan
landasan kereta api yang dikenali sebagai 'landasan maut' dari Thailand ke
Burma (kini dikenali Myanmar) yang terletak di Sungai Mae Klong di Thailand.
Pembinaan landasan sepanjang
415 kilometer yang merangkumi 60 stesen bermula dari Nong Pladuk di daerah
Kanchanaburi, Thailand ke Thanbyuzayat bermula pada Oktober 1942 itu berlaku
semasa zaman pemerintahan Jepun.
Mengikut catatan sejarah,
selepas Jepun menakluk Tanah Melayu pada Februari 1942, mereka merencanakan
projek pembinaan landasan kereta api sejauh 415 kilometer dari Thailand ke
Burma bagi merealisasikan misi penting tentera Jepun untuk menakluki negara
India melalui Burma.
Kira-kira 68,000 tahanan perang
British, Australia, Amerika, New Zealand dan Belanda, manakala 200,000 orang
lagi buruh paksa dari India, China dan orang Melayu dari Tanah Melayu terlibat
dalam pembinaan projek landasan maut itu.
Dari Tanah Melayu sahaja
dianggarkan 72,000 rakyat Malaya dikerah untuk menyiapkan landasan maut
tersebut, dan daripada jumlah itu hanya 30,000 orang sahaja selamat pulang ke
tanah air, manakala selebihnya dilaporkan meninggal dunia dan hilang.
Mengikut rekod Persatuan
Kebajikan Bekas dan Warisan Buruh Binaan Landasan Kereta Api Siam Burma
1942-1946, hanya 30,000 buruh terbabit berjaya pulang semula ke tanah air
mereka terdiri daripada 60 peratus bangsa Melayu, 20 peratus India, 15 peratus
Cina dan 5 peratus bangsa lain.
Tahanan perang itu dipaksa oleh
tentera Jepun menjadi buruh paksa dengan tenaga dan kudrat mereka diperah
sepenuhnya siang dan malam untuk menyiapkan projek tersebut.
Sepanjang 'bertugas', mereka
dilayan dengan teruk dan hanya diberi makan sekali sehari serta tinggal secara
beramai-ramai.
Akibat teruk didera, ramai yang
meninggal dunia dan dijangkiti pelbagai penyakit termasuk taun, malaria, cirit
birit dan juga keletihan.
Tahanan perang itu dipaksa
menebang pokok-pokok besar, membersih kawasan laluan landasan, meneres
lereng-lereng bukit, menimbus kawasan rendah, menyusun landasan, mengangkut rel
kereta api dan mengangkut batu-batu serta membina jambatan hanya menggunakan kudrat
mereka, tanpa bantuan peralatan dan jentera.
Pada sebelah malamnya pula
mereka ditempatkan di rumah panjang seperti bangsal beratapkan daun sagu atau
nipah dan berlantaikan buluh. Setiap bangsal memuatkan kira-kira 100 orang.
Tentera Jepun akan memantau
'kerja-kerja' yang mereka lakukan dan jika mereka didapati melakukan
'kesalahan', lambat atau letih, mereka akan dipukul dengan buluh, rotan atau
ditampar.
Buruh paksa yang meninggal
dunia pula, mayat mereka diisi ke dalam guni dan ditanam di merata-rata tempat.
Ada juga mayat yang dibakar atau dihanyutkan ke sungai.
Kini, biarpun peristiwa hitam
itu telah berlalu selama beberapa dekad, namun tragedi itu akan mengingatkan
kita betapa bahayanya jika negara kita diceroboh kuasa asing, dan kita akan lebih
menghargai keamanan dan kebebasan.
SUMBER:
http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140120/re_07/Peristiwa-buruh-paksa-ingatkan-betapa-pentingnya-keamanan#ixzz2r1z6N0ZT
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment