Ad

Tuesday, 9 December 2014

Malik al-Saleh pemerintah Islam awal di Nusantara



ARKIB : 24/06/1998
Malik al-Saleh pemerintah Islam awal di Nusantara


PENULIS di samping makam Sultan Malik al-Saleh di Kampung Muenasah Beringin (Pasai) di Lhoksaumawe, Aceh. Sultan Pasai ini mangkat pada tahun 670 Hijrah (1297M).

Dengan menaiki kereta milik Drs. Zakaria Ahmad, bekas Pengarah Muzium Aceh, perjalanan dari bandar Aceh ke Lhoksaumawe memakan masa kira-kira satu jam. Perjalanan ini agak lambat kerana kami singgah di beberapa tempat se-panjang perjalanan tersebut.

Di bandar Lhoksaumawe saya singgah sebentar di rumah Pak Ali Akhbar yang pernah menjadi Pengarah Muzium dan sekarang menjadi wakil rakyat.

Selepas minum secawan kopi dengan keropok belinja di rumah Pak Ali Akhbar, kami pun bertolak ke sebuah kampung yang menurut Drs. Zakaria Ahmad ialah Kampung Muenasah Beringin, Gedong.

Jauhnya kira-kira 10 kilometer dari bandar Lhoksaumawe. Di situ ada makam Sultan Malik al-Saleh iaitu raja pemerintah pertama beragama Islam di rantau Nusantara ini.

Di tapak makam, saya diperkenalkan dengan ketua kampung tersebut dan beberapa orang kampung yang sedang melawat makam. Di tapak ini juga terdapat makam Sultan Malik al-Dhazir (Thahir), iaitu putera baginda.

Nisan pada makam Sultan Malik al-Dhazir tidak sama dengan nisan Sultan Malik al-Saleh yang menggunakan nisan batu Aceh. Nisan makam Sultan Malik al-Dhazir menggunakan batu pejal dan terpahat dengan huruf Arab/jawi yang sangat halus.

Nisan pada makam Sultan Malik al-Saleh terdapat catatan tarikh kemangkatan baginda iaitu pada bulan Ramadan 670 Hijrah (bersamaan tahun 1297). Manakala Sultan Malik al-Dhazir pula mangkat pada tahun 1326 Masihi.

Sultan Malik al-Saleh adalah nama besar dan agung dalam Sejarah Nusantara, apatah lagi ia dihubungkan dengan kedatangan Islam ke Nusantara.

Sejarah menyebutnya Sultan Malik al-Saleh ialah raja pemerintah yang pertama di Nusantara yang memeluk agama Islam, iaitu kira-kira pada tahun 1275 Masihi. Sama ada benar atau tidak, belum ada bukti lain yang boleh menafikannya.

Walaupun dalam sejarah Aceh ada mencatatkan bahawa kesultanan Aceh yang berteraskan Islam telah bermula pada tahun 1205 Masihi, di Perlak pula telah ada pemerintah yang memakai gelaran sultan iaitu Sultan Alaidin Syah yang memerintah Perlak pada tahun 1161 hingga tahun 1186 Masihi.

Dengan itu Sultan Malik al-Saleh yang masuk Islam pada tahun 1275 tidaklah boleh dianggap sebagai pemerintah yang awal memeluk agama Islam.

Dalam Hikayat Raja-Raja Pasai ada menyebut bahawa di Semerlanga, ada dua orang raja bersaudara yang tua bernama Raja Ahmad dan yang muda bernama Raja Muhammad.

Ketika Raja Muhammad sedang menebang serumpun buluh betung, tiba-tiba di bahagian tengah rumpun buluh itu didapati seorang kanak-kanak perempuan di dalam rebung buluh tersebut. Lalu kanak-kanak perempuan tersebut dibawa pulang dan diberi nama Puteri Buluh Betung.

Manakala Raja Ahmad pula menemui seorang kanak-kanak lelaki di atas kepala gajah, lalu kanak-kanak itu diambil dan diberi nama Merah Gajah.

Setelah kedua-duanya besar lalu dikahwinkan dan mereka memperoleh dua orang putera. Yang tua dinamakan Merah Silu dan yang bongsu dinamakan Merah Hasun.

Satu tragedi telah berlaku apabila Merah Gajah mencabut sehelai rambut yang berwarna kuning di tengah kepala isterinya, Puteri Buluh Betung itu.

Setelah tercabut keluarlah darah tidak berhenti-henti sehingga membawa maut. Akhirnya Merah Gajah telah dibunuh oleh bapa mertuanya Raja Muhammad.

Tidak lama kemudian terjadi pula pergaduhan antara Raja Muhammad dengan kekandanya Raja Ahmad sehingga kedua-duanya mangkat.

Kerana sedih atas peristiwa itu Merah Silu akhirnya berpindah ke sebuah tempat bernama Rimba Jeram.

Pada suatu hari ketika sedang berburu, anjingnya yang bernama Pasai menyalak ke arah sebuah tanah tinggi.

Di tempat itu Merah Silu terlihat ada seekor semut sebesar kucing lalu tempat itu dinamakan Samudera iaitu sempena semut yang besar dan Pasai pula sempena dengan nama anjing pemburuan.

Lama-kelamaan kedua tempat tersebut disebut Samudera/Pasai. Semasa memerintah di Samudera/Pasai inilah Merah Silu diIslamkan oleh seorang ulama yang bernama Nakhoda Ismail yang datang dari Merah.

Setelah masuk Islam Merah Silu mengambil nama Sultan Malik al-Saleh dan mengikut sejarahnya Sultan Malik al-Saleh memerintah Samudera/Pasai pada tahun 1275 dan baginda mangkat pada 1297.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0624&pub=Utusan_Malaysia&sec=Gaya_Hidup&pg=ls_01.htm#ixzz3LThXYEvm© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment