TUJUH buah makam bersejarah di
Kompleks Makam Chondong, Pekan, Pahang.
Kompleks makam bersejarah itu
berdekatan dengan Kompleks Makam Nibong yang terletak di Kampung Mangkar di
Pekan Lama, Pekan.
Di Kompleks Makam Chondong itu
ada tujuh buah makam yang menggunakan nisan batu Aceh. Salah satu yang telah
dikenal pasti ialah Makam Raja Muda Abdullah, iaitu putera Sultan Abdul
Ghaffar, Sultan Pahang ke-12 daripada zuriat kesultanan Melaka 1591-1614.
Makam-makam lain dipercayai
makam kaum keluarga Raja Muda Abdullah iaitu Makam Sultan Abdul Ghaffar, Sultan
Ahmad dan juga Makam Puteri Bongsu Cendera Dewi iaitu ibu kepada Sultan
Iskandar Sani, Sultan Aceh.
Hikayat Bustanus Salatin
(Sejarah Aceh) ada menyatakan Sultan Iskandar Sani dari Aceh itu telah
menghantar satu rombongan orang-orang besar Aceh dengan membawa batu-batu nisan
untuk dipasangkan di makam ibu baginda iaitu puteri Cendera Dewi dan lain-lain
makam di kompleks makam tersebut.
Sultan Abdul Ghaffar memerintah
Pahang hampir 23 tahun. Dalam masa pemerintahan baginda berbagai-bagai
peristiwa yang aneh dan menarik telah berlaku. Antaranya ialah perkahwinan
putera baginda iaitu Raja Muda Abdullah dengan puteri Sultan Perak pada tahun
1600.
Rombongan pengantin lelaki
telah menaiki perahu mudik sungai Pahang hingga sampai ke Kuala Tembeling dan
di situ telah menunggu rombongan pengantin perempuan yang menghilir ikut sungai
Jelai. Rombongan pengantin perempuan terpaksa menaiki gajah berunggu. Di Kuala
Tembelinglah berlangsung perkahwinan diraja antara Raja Muda Abdullah dengan
puteri Sultan Perak.
Dalam tahun 1612 pula satu rombongan
pengantin dari Johor telah datang ke Pekan. Putera Sultan Alauddin Riayat Syah
III, Sultan Johor, akan berkahwin dengan puteri Sultan Abdul Ghaffar.
Semasa berada di Perak, Sultan
Abdul Ghaffar telah mengadakan satu majlis untuk menyambut rombongan pengantin
lelaki. Dalam majlis itu putera Sultan Brunei yang juga menantu Sultan Pahang
telah mempersilakan Sultan Alauddin untuk minum. Ketika itulah terpandang oleh
sultan Johor akan sebentuk cincin yang dipakai oleh putera Sultan Brunei.
Sultan Alauddin amat berkenan
dengan cincin batu mutiara yang besar itu lalu Sultan Johor itu meminta supaya
putera Sultan Brunei itu menjual cincin tersebut dengan harga yang mahal. Namun
putera Sultan Brunei tidak mahu menjualnya.
Sultan Johor sangat murka
kerana permintaannya tidak dilayan oleh putera Sultan Brunei. Lalu dengan
tergesa-gesa Sultan Johor kembali ke Johor dan perkahwinan antara kedua sultan
tersebut dibatalkan.
Tidak lama kemudian angkatan
perang Sultan Johor datang menyerang dan mengalahkan Pahang. Sultan Abdul
Ghaffar sempat melepaskan diri ke Hulu Pahang.
Angkatan perang Johor lalu
membakar Pekan dan juga Pekan Cina yang terletak di tebing kanan mudik Sungai
Pahang.
Apabila Sultan Brunei mendapat
berita tentang serangan Johor ke negeri Pahang itu, baginda menghantar sebuah
angkatan perang yang besar ke Pahang.
Angkatan perang Brunei itu
dengan mudah menghalau orang-orang Johor yang menakluki Pahang itu.
Sultan Abdul Ghaffar kembali
semula berkuasa dan kemudian ikut bersama dengan angkatan perang Brunei balik
ke Brunei. Kira-kira tiga bulan di Brunei, Sultan Abdul Ghaffar pulang semula
ke negeri Pahang.
Satu tragedi yang sedih telah
berlaku di Pekan, Pahang, apabila seorang putera baginda yang tidak diketahui
namanya (cuma disebut dalam sejarah Cina Meng sebagai putera yang jahat laku)
telah meracun ayahnya hingga mangkat dan membunuh abangnya iaitu Raja Muda
Abdullah.
Putera Almarhum Sultan Abdul
Ghaffar yang disebut putera yang jahat laku itu telah melantik dirinya sebagai
Sultan Pahang. Peristiwa ini berlaku kira-kira pada tahun 1614.
Namun setahun kemudian Sultan
Alauddin Riayat Syah lll telah menghantar putera baginda yang bernama Raja
Bujang menjadi Sultan Pahang, dan putera Sultan Abdul Ghaffar yang jahat laku
itu kemudiannya dapat merampas semula Pahang daripada kekuasaan Raja Bujang.
Dalam sebuah laporan Cina
bernama Tung Hsi Yang Kau ada menceritakan tentang pemerintahan putera Sultan
Pahang yang membunuh ayah dan abangnya dan melantik dirinya menjadi raja.
Mereka ini berkeliaran di laut
mencuri orang dan menjualkan kepada Sultan Pahang yang suka membeli hamba abdi
daripada perompak laut yang disebut Mau Su yang bermakna perompak laut.
Oleh: N.A. HALIM
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0729&pub=Utusan_Malaysia&sec=Gaya_Hidup&pg=ls_01.htm#ixzz3LVLpupmZ©
Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment