MUHAMMAD DAYNE AZMIN | 10
Disember 2014 1:25 AM
Dollah Salleh (dua dari
kanan)menjelaskan sesuatu kepada pemainnya
Dollah Salleh (dua dari
kanan)menjelaskan sesuatu kepada pemainnya semasa sesi latihan skuad negara di
padang latihan Stadium Nasional My Dinh, Hanoi semalam bagi persiapan untuk
perlawanan separuh akhir kedua Piala AFF esok. – UTUSAN
HANOI - Jangkaan awal para
pemain Harimau Malaya mungkin diancam oleh para penyokong Vietnam sebaik tiba
di bumi Hanoi menjelang separuh akhir kedua Piala AFF ternyata meleset sama
sekali.
Sejak tiba Isnin lalu, para
pemain negara langsung tidak menerima sebarang kecaman atau sebarang provokasi
secara langsung daripada penyokong-penyokong Vietnam seperti yang diramalkan
berlaku akibat ‘tindakan bodoh’ segelintir penyokong Malaysia sewaktu
perlawanan separuh akhir pertama Ahad lalu.
Sesi latihan di sebelah malam
yang dijalankan di padang berhampiran Stadium Nasional My Dinh bagi menghadapi
perlawanan separuh akhir kedua Piala AFF 2014 ternyata dapat berlangsung dengan
aman walaupun hanya kawalan keselamatan minimum diberikan oleh tuan rumah.
Situasi itu membuatkan
jurulatih Harimau Malaya, Dollah Salleh berasa amat lega kerana para pemain
langsung tidak mendapat gangguan mental di sebalik laporan-laporan awal
terhadap ugutan keganasan yang mahu dilancarkan oleh peminat Vietnam.
“Tak ada sebarang gangguan yang
kami terima sebaik tiba di sini sejak semalam dan tiada masalah besar dalam
membuat persiapan menjelang perlawanan.
“Apa yang paling penting, fokus
para pemain cukup tinggi dan saya kini bekerja keras mahu memulihkan kembali
moral mereka.
“Mood pemain memang sedikit jatuh
dan saya sendiri agak hampa namun kita sudah tiada pilihan lain kecuali
mempertingkatkan prestasi dalam masa dua hari ini,” katanya ketika ditemui
pemberita semalam.
Berdasarkan pendedahan di media
sosial seperti Facebook, sebahagian penyokong Vietnam menyatakan kecenderungan
mahu membalas dendam terhadap apa yang berlaku ke atas rakan-rakan mereka di
Stadium Shah Alam Ahad lalu.
Mereka turut melakukan
provokasi terhadap beberapa tonggak Harimau Malaya seperti Safiq Rahim sambil
berjanji pemain itu akan diberi layanan buruk sepanjang perlawanan.
Sedar rekod Harimau Malaya yang
agak buruk tiap kali bertandang ke Hanoi, Dollah mahu mengetepikan segala
statistik berkenaan kerana baginya itu semua sudah menjadi sejarah.
“Tidak dinafikan memang sukar
buat kami untuk menang di sini, namun bukan sesuatu yang mustahil.
“Yang penting semangat pemain
kena tinggi dan mereka sepatutnya kena meneruskan momentum yang kita bina
semasa berdepan Thailand serta Singapura di peringkat kumpulan.
“Mental kita kena kuat dan
apabila lawan menjaringkan gol, jangan berputus asa, ambil contoh masa lawan
Singapura.
“Walaupun lawan berjaya
menyamakan kedudukan ketika perlawanan berbaki beberapa minit lagi tetapi
pemain-pemain kita masih mampu mendapatkan gol kemenangan, harap kita dapat
bawa semangat yang sama apabila berdepan Vietnam,” katanya.
UTUSAN MALAYSIA ONLINE 10.12.14
No comments:
Post a Comment