Ad

Tuesday, 4 November 2014

Gula merah atasi anemia



Dr Bahrain Samah
5 November 2014
Gula merah lebih murah dan mudah didapati untuk atasi anemia. - Gambar hiasan
    Gula merah lebih murah dan mudah didapati untuk atasi anemia. - Gambar hiasan          Gula merah lebih murah dan mudah didapati untuk atasi anemia. - Gambar hiasan

SEORANG ibu muda berumur 30 tahun mengadu kepada penulis mengenai beberapa suplemen yang dipreskripsi oleh doktor tidak membantu meningkatkan bilangan sel darah merahnya. Beliau yang didiagnosis menghidapi anemia sejak tujuh tahun dahulu sering mudah mengalami pitam, sakit kepala dan lesu.

Pada masa yang sama beliau juga mengalami tekanan darah rendah. Makanan yang dimakan setiap hari terdiri daripada bersarapan dengan oat dan susu isian pekat manis selepas sejam makan suplemen. Makanan tengah hari pula lengkap dengan karbohidrat, protein dan sedikit lemak.

Beliau kurang makan buah-buahan. Beliau jarang makan malam. Jika lapar beliau sediakan oat yang ditambah air panas dan susu isian pekat manis seperti sarapan pagi.

Ramai pakar berpendapat oat menghalang penyerapan zat besi kerana ia mengandungi asid phytic. Asid phytic dikatakan menghalang penyerapan beberapa jenis mineral ke dalam tubuh kerana ia bergabung dengan mineral penting seperti zink, zat besi, manganese di dalam usus. Selepas bergabung ia dikeluarkan daripada tubuh bersama najis.

Penggabungan asid phytic dan mineral menghasilkan phytate. Jadi dalam tumbuh-tumbuhan terdapat asid phytic dan phytate. Asid phytic yang dikenali sebagai inositol hexaphosphate (IP6) sebenarnya ialah sumber tenaga kepada tumbuh-tumbuhan.

Pelbagai jenis bijirin, kacang dan buah-buahan kategori nuts mengandungi asid phytic.


Keliru istilah phytate?

Bijirin tidak ceruh dikatakan mengandungi kandungan asid phytic yang jauh lebih tinggi daripada bijirin ceruh (terproses). Bran pada bijirin dan lapisan kotilidan (cotyledon) mengandungi paras asid phytic yang tinggi.

Jadi, wanita muda yang mengambil oat pagi dan malam yang penulis jadikan contoh pada awal artikel ini dipercayai mendedahkan diri kepada anemia yang lebih buruk. Memang benar suplemen zat besi, vitamin B12 dan asid folik yang diambilnya setiap hari membantu sedikit sebanyak meningkatkan paras zat besi namun beliau masih kerap mengalami simptom anemia seperti dinyatakan di perenggan awal artikel ini.

Terdapat kemungkinan juga kekerapan mengambil oat dan makan tengah hari sekali sehari adalah punca kepada anemia yang dialaminya.

Anemia boleh menyebabkan tekanan darah menjadi rendah. Begitu juga dengan kekurangan vitamin B12 dan asid folik. Doktor yang merawat wanita muda tersebut tidak pernah bertanya apakah diet harian yang diamalkan beliau. Sebaliknya doktor serkap jarang dengan menyatakan bahawa kerana kurang mengambil makanan bergula sebagai punca tekanan darah beliau menjadi rendah.

Memang diakui ramai pakar bahawa pengambilan gula dan karbohidrat terproses yang tinggi akan meningkatkan tekanan darah. Dengan mengurangkannya pula sedikit sebanyak akan menurunkan tekanan darah. Pada pandangan penulis, jenis dan pola pemakanan wanita ini secara keseluruhan adalah punca kepada anemia dan tekanan darah rendah.

Ramai yang tidak tahu termasuk golongan perubatan moden mengenai oat membantu merehatkan arteri dan seterusnya membantu mengurangkan tekanan darah.

Jadi, penulis berpendapat pengambilan oat pagi dan petang serta kurang makan makanan karbohidrat dari segi kuantiti adalah punca kepada tekanan darah rendah selain berpunca dari anemia yang dialami.

Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan anemia? Ia merupakan sejenis keadaan kesihatan apabila seseorang mengalami paras sel darah merah yang tidak mencukupi. Terdapat pelbagai simptom anemia termasuk letih, lesu, kulit pucat, sakit kepala, sesak nafas, sakit kepala, mudah pitam, tumpuan terganggu dan rasa sejuk.

Kes anemia yang teruk boleh mengganggu degupan jantung dan akan menimbulkan keadaan dikenali sebagai denyutan jantung tidak sekata. Lebih buruk lagi ia boleh menyebabkan kegagalan jantung.

Dari perspektif perubatan moden, anemia biasnya berpunca daripada penyakit lain. Biasanya doktor akan mendapatkan sampel darah dan menjalankan ujian ke atasnya termasuk jumlah darah sebenar (complete blood count) yang menyukat paras sel-sel darah merah dan hemoglobin dalam darah.

Jika seseorang didapati menghidap anemia beberapa siri ujian akan dijalankan bagi mengenal pasti jenis anemia pula.

Anemia berpunca daripada kekurangan zat besi merupakan jenis anemia yang biasa berlaku. Puncanya ialah pemakanan tidak seimbang, kehilangan darah yang teruk, menstruasi, mengandung dan kesan ubatan moden tertentu.

Kekurangan vitamin B12 dan asid folik juga adalah punca anemia. Vitamin B12 tidak terdapat pada tumbuhan kecuali pada rumpai laut. Beberapa jenis penyakit seperti kanser, kegagalan buah pinggang dan penyakit Crohn juga boleh menyebabkan anemia.

Aplastic anemia merupakan anemia yang mudah membawa maut kerana ia berpunca daripada tulang sum-sum yang tidak berupaya menghasilkan ketiga-tiga jenis sel darah. Gangguan autoimun dikatakan sebagai satu daripada puncanya.

Hemolytic anemia pula ialah anemia yang berpunca daripada kadar sel-sel darah merah dimusnahkan lebih cepat daripada pembinaannya oleh sum-sum tulang untuk menggantinya. Puncanya ialah gangguan autoimun dan pengambilan ubatan moden tertentu.

Thalasemia pula ialah sejenis anemia keturunan. Tubuh membina hemoglobin yang tidak normal. Hemoglobin ialah sejenis protein yang terdapat dalam sel darah merah berfungsi membawa oksigen. Gangguan ini seterusnya menyebabkan sel-sel darah merah musnah secara berlebihan dan menyebabkan anemia.


B12 rumpai laut

Apakah agen paling mujarab untuk mengatasi atau merawat anemia? Penulis tidak mengetahuinya. Namun begitu, gula merah terutama jenis organik dan tiada/rendah sulfur dikatakan boleh membantu. Ia kaya dengan pelbagai mineral termasuk zat besi dan mengandungi folate.

Vitamin B12 didapati dalam daging haiwan, rumpai laut dan suplemen. Sukatan: 1 sudu gula merah dibancuh dengan ½ cawan air, sukatan serupa diambil 3 kali sehari.

Penyerapan zat besi kategori non-heme seperti terdapat dalam tumbuh-tumbuhan dan haiwan dipercepat dengan bantuan zat besi kategori heme daripada daging haiwan seperti lembu dan kerang.

Halangan penyerapan zat besi oleh bioflavonoids dan acid phytic dapat diatasi dengan mengambil buah-buahan kaya vitamin C. Vitamin A daripada haiwan dan sayuran kaya beta karotena yang provitamin A juga dikatakan membantu mengatasi halangan tersebut.

Elakkan daripada berburuk sangka kepada asid phytic. Suplemen IP6 yang dijual di sesetengah farmasi sebenarnya bersifat antioksidan dan antikanser!

Petai dicanangkan oleh sesetengah pihak agar tidak dimakan secara kerap kerana kandungan mengandungi asid phytic. Mungkin mereka terlepas pandang dengan menjadikan ia jeruk dan merebusnya kandungan asid phytic akan berkurangan.

Seperti dinyatakan di atas, vitamin A, vitamin C juga membantu mengatasi halangan penyerapan zat besi dan mineral lain oleh asid phytic. Jadi rajin-rajinlah makan makanan yang mengandunginya.
SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 5.11.2014

No comments:

Post a Comment