Oleh LUQMAN HAKIM AB. RAHIM
luqmanhakim.rahim@kosmo.com.my
ABDUL Majid (kiri) menerima
kata-kata semangat daripada orang ramai semasa memulakan perjalanan berjalan
kaki secara solo untuk mengelilingi Semenanjung di Kuantan semalam.
PEMINAT fanatik Tok Gajah,
Abdul Majid Abdul Hamid, 58, menunaikan nazar yang dibuatnya untuk mengelilingi
Semenanjung Malaysia bermula semalam di hadapan pekarangan Stadium Darul
Makmur, Kuantan sempena kejayaan pasukan bola sepak Pahang mempertahankan piala
berprestij, Piala Malaysia musim ini.
Lebih mesra dengan gelaran Pak
Majid, pejalan kaki solo itu memulakan perjalanan pada pukul 9.20 pagi menuju
ke negeri selatan tanah air, Johor.
Pak Majid yang menetap di Felda
Lepar Hilir 1, Kuantan berkata, dia memang berhasrat untuk segera menunaikan
nazarnya sebaik sahaja piala berprestij itu dibawa pulang ke negeri ini.
“Saya rasa masanya sudah tepat
untuk memulakan perjalanan dan kemungkinan ia akan mengambil masa antara 45
hingga 60 hari. Namun ia bergantung kepada cuaca dan situasinya nanti.
“Saya sudah bersedia sepenuhnya
dari segi fizikal dan mental serta mengharapkan tiada masalah besar yang boleh
menggangu sepanjang perjalanan ini dan berharap semoga semua mendoakan
keselamatan saya sepanjang kembara ini nanti,"katanya ketika ditemui
semalam.
Terdahulu, Pemuda UMNO Bahagian
Kuantan hadir memberi sokongan dan bantuan berupa wang tunai dan pakaian kepada
Pak Majid.
Mengenai laluan sepanjang misi
itu, Pak Majid berkata, dia akan memasuki Segamat, Tangkak dan menuju ke Melaka
sebelum bergerak ke Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan dan negeri-negeri lain
dan akan menamatkan kembara di Kuantan.
“Saya tak halang jika ada
sesiapa yang ingin bersama berjalan kaki dan boleh juga dijadikan peneman untuk
menghilangkan bosan,”katanya.
Tahun lalu, Pak Majid melakukan
kembara solo bermula 6 hingga 12 November dari bandar ini menuju ke Stadium
Shah Alam dengan jarak 280 kilometer selepas Pahang muncul juara Piala Malaysia
mengalahkan Kelantan, 1-0 musim lalu.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1105&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz3IBTITsj0Hakcipta
terpelihara
No comments:
Post a Comment