TIMBUNAN guni pasir diletakkan
oleh kumpulan penunjuk perasaan antikerajaan di sebuah persimpangan di Bangkok.
BANGKOK - Beribu-ribu penunjuk
perasaan antikerajaan menawan jalan-jalan utama di Bangkok semalam dalam usaha
untuk melumpuhkan bandar raya berkenaan, sekali gus mendesak Perdana Menteri
sementara, Yingluck Shinawatra meletak jawatan.
Kumpulan penunjuk perasaan
membanjiri persimpangan utama di Bangkok dan membina pentas ceramah, khemah dan
gerai-gerai yang menawarkan makanan percuma untuk para peserta.
Mereka juga berikrar untuk
menawan lokasi-lokasi utama di Bangkok sehingga Yingluck meletak jawatan dan mengancam
untuk mengganggu pilihan raya umum yang dijadualkan pada Februari depan.
"Hari ini (semalam) akan
tertulis dalam sejarah Thailand," kata ketua penunjuk perasaan tersebut,
Suthep Thaugsuban dalam satu bantahan malam kelmarin.
Beliau yang pernah menjadi
timbalan perdana menteri juga berikrar untuk meluaskan bantahan berkenaan bagi
melumpuhkan bandar berkenaan sehingga kerajaan sedia ada tumbang.
Para penunjuk perasaan itu cuba
memaksa Yingluck meletak jawatan dengan sebuah kerajaan sementara dibentuk
untuk melaksanakan pembaharuan bagi menamatkan rasuah dan poli- tik wang di
Thailand.
Mereka juga mahu menggagalkan
pilihan raya umum lebih awal yang diumumkan oleh Yingluck pada 2 Februari depan
kerana bimbang pemimpin yang mempunyai kaitan dengan bekas Perdana Menteri,
Thaksin Shinawatra kembali berkuasa.
Para penunjuk perasaan itu
menuduh Yingluk menjadi boneka kepada Thaksin yang juga abangnya.
Thaksin pernah digulingkan
dalam rampasan kuasa tentera pada 2006 selepas kerajaannya dicemari dengan penyalahgunaan
kuasa dan rasuah.
Namun, Thaksin kini hidup dalam
buangan dan akan dihukum penjara dua tahun jika kembali ke Thailand selepas
didapati bersalah melakukan penyalahgunaan kuasa semasa menjadi Perdana
Menteri. - Agensi
SUMBER : KOSMO ONLINE 14.1.14
No comments:
Post a Comment