Air kolam di puncak Gunung
Kinabalu membeku disebabkan fenomena cuaca sejuk. - Foto Lano Lan
Ranau: “Kolam menjadi ais,
embun yang menitis juga terus membeku hingga kelihatan seperti salji,” kata
penunjuk arah atau dikenali sebagai ‘Malim Gunung Kinabalu’, Nais Momin, 45.
Menceritakan keadaan sejuk luar
biasa di puncak Gunung Kinabalu, Nais berkata, beliau menyedari keadaan itu
ketika membawa pendaki ke puncak gunung pada 15 Januari lalu.
“Ini kali pertama saya lihat
keadaan seperti itu sepanjang enam tahun menjadi malim di puncak tertinggi Asia
Tenggara. Laluan bertangga di kawasan puncak turut diseliputi ais. Laluan
pendaki menjadi licin.
“Cuaca ketika itu redup,
bergerimis dan sejuknya menusuk ke tulang. Air menjadi ais dengan ketebalan
antara setengah hingga lebih satu sentimeter.
Putih seperti kapas
“Air yang menitis kelihatan
putih seperti salji, tetapi apabila jatuh atas batu ia hilang. Ada pendaki menyangka
ia salji, tetapi saya berpendapat sebaliknya kerana salji bila jatuh ke bumi,
ia kelihatan putih seperti kapas,” katanya ditemui di sini, semalam.
Pengerusi Persatuan Malim
Gunung Kinabalu, Suhaji Sumail, berkata pembekuan air kolam di puncak gunung
jarang terjadi dan kali terakhir pernah diceritakan, berlaku lebih 30 tahun
lalu.
“Ais biasa ditemui di puncak
gunung, terutama pada musim kemarau, tetapi nipis dan cair apabila disentuh.
Kali ini, ais ditemui tebal dan berlaku pada musim hujan.
“Saya percaya ia disebabkan
cuaca sejuk yang dibawa angin kencang di kawasan puncak gunung,” katanya.
Kakitangan Taman-Taman Sabah,
Jenny Jane, 29, berkata catatan suhu dicatat di puncak Gunung Kinabalu, jatuh
hingga negatif dua darjah Celsius sejak pertengahan bulan ini, berbanding empat
hingga lapan darjah Celsius sebelum ini.
Suhu bawah paras beku
Katanya, pemantauan pihaknya
mendapati suhu di bawah paras beku dicatat dua atau tiga hari sebelum meningkat
kepada sifar hingga tiga darjah Celsius, sejak seminggu lalu.
“Memang kali ini lebih sejuk
disebabkan hujan berpanjangan seminggu lalu sehingga ada jadual pendakian ke
puncak dibatalkan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan
Meteorologi Sabah, Abdul Malek Tussin, berkata ke-adaan berais di puncak Gunung
Kinabalu akibat penurunan suhu sehingga mencapai paras beku adalah perkara
biasa.
“Dakwaan salji tidak logik
kerana Gunung Kinabalu tidak terletak di kawasan yang biasa berlaku salji,”
katanya.
Berita Harian online 26.1.14
No comments:
Post a Comment