Oleh IBRAHIM ABDULLAH
NABI MUHAMMAD SAW adalah
sebaik-baik pemimpin bagi umat manusia sejagat. Jelaslah Rasulullah SAW
merupakan pemimpin terbaik di sepanjang zaman. Baginda juga negarawan
terunggul, pahlawan berani dan ahli politik yang agung. Manusia sehingga kini
masih mengambil pengajaran dan teladan daripada diri baginda SAW dan sejarah
hidupnya sebagai sumber inspirasi dan pedoman hidup untuk kebahagiaan dunia dan
akhirat.
Firman Allah SWT yang
bermaksud: Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh
ikutan yang baik iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah
dan (balasan baik) hari akhirat serta ia pula menyebut dan mengingati Allah
banyak-banyak (sewaktu susah dan senang). (al-Ahzab: 21)
Keperibadian Rasulullah SAW
terdapat pelbagai kualiti, ciri-ciri dan tindakan yang menjadikannya perlu
untuk diteladani. Di antara ciri-ciri kepimpinan yang diperlukan oleh setiap
ketua dan pemimpin antaranya ialah;
Baginda SAW menyatupadukan
ummah yang berpecah-belah. Lihatlah peristiwa perebutan meletakkan Hajar
al-Aswad di tempat asalnya di mana insiden tersebut hampir mengundang
perbunuhan dalam kalangan masyarakat Arab. Hal itu menjadi bukti keagungan
kepemimpinan dan keperibadian Nabi SAW. Tambahan pula, baginda mempunyai
sifat-sifat sidiq, amanah, tabligh dan fatanah. Baginda juga terkenal dengan
sifat Al-Amin (yang dipercayai) dalam kalangan masyarakatnya.
NAbi SAW mempunyai sifat
penyayang dan mengasihi pengikut-pengikutnya dan keras kepada musuh-musuhnya.
Sifat sedemikian telah bertukar konsepnya dalam kalangan pemerintah dan ahli
politik kita hari ini, kerana kebanyakan mereka hanya berminat mendapatkan
sokongan musuh-musuhnya tanpa mempeduli kepentingan rakyat dan harapan generasi
bangsanya yang telah memilih mereka menjadi pemimpin.
Diriwayatkan telah datang
seorang lelaki kepada Rasulullah SAW meminta sedekah dengan bahasa yang tidak
sesuai: Berikan saya sedekah wahai Muhammad, kerana anda tidak memberikan
harta milikmu kepada saya mahupun harta milik ayahmu." Baginda hanya
berkata kepadanya: Saya tidak mempunyai apa-apa untuk disedekahkan
kepadamu."
Benarlah Allah SWT berfirman
yang bermaksud: Nabi Muhammad SAW ialah Rasul Allah dan mereka yang bersama
dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam)
dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan sesama (umat Islam).
(Al-Fath: 29)
Baginda SAW selalu bersama
umatya merasai kesakitan dan kesedihan serta tidak hidup memencilkan diri
daripada mereka. Baginda pernah tinggal di rumah mereka, makan makanan mereka,
berlapar jika mereka kelaparan dan tidak kenyang melainkan jika mereka telah
kenyang. Jika mereka mengikat perut dengan satu batu, Baginda pula akan
mengikat perutnya dengan dua batu. Rasulullah SAW sentiasa berfikir tentang
mereka siang dan malam, seluruh hidupnya lebih banyak diuruskan untuk mereka
daripada keluarganya sendiri.
Inilah di antara doa Nabi SAW: Wahai
Tuhanku, aku tidak akan meminta untuk Fatimah anak perempuanku, Khadijah
isteriku, al-Abbas bapa saudaraku dan Sofiyyah emak saudaraku, tetapi wahai
Tuhanku, aku hanya meminta kebaikan untuk umatku, umatku..." (riwayat lain
mengatakan: Umatku, umatku, umatku...")
Nabi SAW menghormati
undang-undang dan hukum-hukum serta melaksanakannya kepada semua orang tanpa
pengecualian. Perhatikan Baginda berkata dan menegaskan: Demi jiwaku yang
berada di tangan-Nya, jika Fatimah binti Muhammad mencuri pasti aku akan
memotong tangannya."
Demikianlah tegasnya Rasulullah
SAW membuktikan dengan satu sumpah dan begitulah (Fatimah binti Muhammad) tanpa
sebarang gelaran untuk mengumumkan bahawa Muhammad dan anak perempuannya
terikat oleh undang-undang dan hukum-hukum tanpa membezakan daripada orang
lain. Malahan Nabi Muhammad SAW sendiri akan menguatkuasakan undang-undang ke
atas anak perempuannya. Di samping itu perhatikan juga kepada ucapan Baginda
semasa Haji Wida : Didikan yang pertama ialah didikan yang saya letakkan
kepada al-Abbas bin Abdul Muttalib."
Baginda SAW memperbanyak
perbincangan (syura) dan menghormati keputusannya serta bersetuju menerima
dengan lapang dada meskipun bertentangan dengan pendapatnya. Rasulullah SAW
berpendapat lebih baik tidak keluar dari Madinah untuk bertemu tentera
musyrikin di Bukit Uhud, sedangkan majoriti berpendapat lebih baik keluar, maka
Baginda bersetuju dengan pendapat mereka.
Ayat al-Quran telah turun
menyeru Rasulullah SAW bertolak ansur dengan mereka dan memohon keampunan untuk
mereka serta terus menerima pendapat mereka dalam perbincangan dan diskusi.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan
yang mereka lakukan terhadapmu) dan pohonlah ampun bagi mereka dan juga
bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal
keduniaan)itu. (ali-Imran: 159)
Baginda SAW meletakkan orang
yang sesuai di tempat yang sesuai. Kriteria di sisi Rasulullah SAW ialah
berdasarkan firman Allah SWT yang bermsksud: Sesungguhnya sebaik-baik orang
yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat lagi amanah. (al-Qasas: 26).
Manakala firman-Nya lagi yang bermaksud: Jadikanlah aku pengurus perbendaharaan
hasil bumi (Mesir), sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya,
lagi mengetahui cara mentadbirkannya. (Yusuf: 55)
Baginda SAW baik dalam
berkata-kata dan berdialog serta tahu cara menjaga hati manusia sekalipun mereka
berbeza. Abu Bakar telah melihat Baginda semasa haji lalu berkata: Wahai
Rasulullah, siapakah yang mendidik engkau? Baginda menjawab: Tuhanku telah
mendidikku, maka Allah telah mendidikku dengan begitu baik sekali."
SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20140122/ba_02/Nabi-SAW-sumber-inspirasi#ixzz2rDNTG5Gg
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment