TENGKU Abdul Rahman (berdiri
tengah) dan Andrade bergambar bersama pemain Pahang selepas selesai majlis
menandatangi penajaan di ibu negara semalam.
JUARA Piala Malaysia 2013,
Pahang menandatangani perjanjian penajaan selama tiga tahun dengan jenama sukan
terkemuka dunia, Puma yang dianggarkan bernilai hampir RM1 juta setahun.
Presiden Persatuan Bola Sepak
Negeri Pahang (PBNP), Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah berkata, penajaan
itu bakal menyuntik semangat pemain-pemain untuk melakar kejayaan lebih
gemilang pada musim akan datang.
"Saya teruja dengan
kesudian Puma untuk tampil sebagai penaja bagi tempoh yang panjang. Ikatan ini
mampu menjulang Pahang ke puncak kejayaan pada musim ini.
"Kali terakhir kami
memenangi Piala Malaysia ialah pada tahun 1992 lalu dan saya telah menunggu
tempoh yang terlalu lama untuk Pahang menjuarainya semula apabila berjaya
melakukan musim lalu.
"Dengan sokongan penuh
daripada Puma, kami akan melakukan segala-galanya untuk meneruskan kegemilangan
ini," katanya semasa majlis pelancaran jersi dan pengenalan pemain Pahang
di Hotel One World, Kuala Lumpur, semalam.
Pahang yang menjuarai Piala
Malaysia setelah menewaskan Kelantan 1-0 pada perlawanan akhir di Stadium Shah
Alam, November lalu melengkapkan tiga gelaran domestik setelah merangkul Liga
Super pada 2004 dan Piala FA dua tahun selepas itu.
Mengulas lanjut mengenai
penajaan tersebut, Pengarah Urusan Puma bagi rantau Asia Tenggara, Miguel
Andrade menjelaskan ia adalah lebih daripada sekadar hubungan perniagaan dengan
Pahang.
"Kami gembira dapat
bekerjasama dengan Pahang dan akan menyediakan persiapan yang sempurna buat
Pahang untuk musim-musim akan datang.
"Kami juga turut yakin
bahawa Pahang adalah duta terbaik buat jenama kami," katanya.
Turut hadir pada majlis
tersebut ialah Setiausaha Agung PBNP, Fuzzeimi Ibrahim, Ketua Pemasaran Puma
Malaysia, Gabriel Yap, pegawai, jurulatih dan pemain-pemain Pahang.
Tok Gajah masih mengekalkan
sebahagian besar pemain musim lalu dan dikuatkan dengan kehadiran dua pemain
import baharu, Dickson Nwakaeme dan bekas pertahanan Fulham, Zesh Rahman selain
tonggak import sedia ada, Matias Conti dan Damion Stewart.
Pada musim ini juga menyaksikan
bekas penganalisis skuad antarabangsa Australia, Ronald Smith mengambil alih
tugas jurulatih daripada Dollah Salleh yang telah memilih Polis Diraja Malaysia
(PDRM) pada musim ini.
Tok Gajah akan bertemu juara
Liga Super musim lalu, Lions XII bagi merebut Piala Sumbangsih di Stadium Darul
Makmur, Kuantan, Pahang pada Jumaat ini.
SUMBER : KOSMO ONLINE 14.1.14
No comments:
Post a Comment