Ad

Thursday, 23 January 2014

Rooney boleh tinggalkan United

 
WAYNE Rooney diberi kebebasan meninggalkan Old Trafford musim depan jika Manchester United gagal layak ke Liga Juara-Juara.
LONDON - Bintang penyerang Manchester United, Wayne Rooney dimaklumkan bahawa dia boleh meninggalkan Old Trafford sekiranya pasukan itu gagal melayakkan diri ke Liga Juara-Juara musim depan.

United bersedia menjual penyerang England itu pada musim panas ini jika menamatkan kempen di luar kelompok empat pasukan terbaik.

Bagaimanapun, jika United layak ke Liga Juara-Juara, Rooney hanya dibenarkan pergi selepas kontraknya, yang bernilai 250,000 (RM1.36 juta) seminggu berakhir pada 2015.

United masih belum memulakan perundingan mengenai penyambungan kontrak dengan Rooney, namun Chelsea dijangka mengemukakan tawaran baharu pada musim panas ini.

Akhbar Britain, Daily Star bagaimanapun melaporkan, pengurus United, David Moyes tidak akan menjual bintang England itu seandainya mereka berjaya menempatkan diri dalam Liga Juara-juara musim depan.

Kegagalan layak ke kejohanan kelab elit Eropah itu akan dianggap satu malapetaka buat United.

Malah semalam, United dikatakan bersedia membatalkan perlawanan pra-musim yang dijadualkan di Amerika Syarikat sekiranya mereka hanya beraksi dalam Liga Europa.

Gergasi Liga Perdana Inggeris itu dijadual mengadakan perlawanan pra-musim pada pertengahan Julai untuk mengumumkan penajaan bernilai 54 juta pound (RM294 juta) dengan pengeluar kereta, Chevrolet.

Perancangan itu bagaimanapun tergantung dan keputusan selanjutnya akan dibuat berdasarkan kedudukan United pada musim ini.

Seorang pegawai kanan di Old Trafford mendedahkan, segala perancangan hanya akan dibuat selepas mendapat gambaran jelas kejohanan manakah yang akan disertai United pada musim depan.

Pegawai berkenaan turut memberitahu, Rooney akan dibenarkan meninggalkan United jika pasukan itu gagal ke Liga Juara-juara tetapi akan dijual seandainya mereka gagal berbuat demikian.

United kini menghuni anak tangga ketujuh liga dan berada 14 mata di belakang pendahulu, Arsenal.

Sementara itu, Moyes akan ke Jerman minggu ini untuk melengkapkan pembelian dua pemain baharu bagi memantapkan pasukan.

Menurut Daily Star, Moyes akan menonton perlawanan Bundesliga di antara Bayern Munich dan Borussia Monchengladbach.

Moyes dikatakan berminat untuk melihat aksi penyerang Monchengladbach, Max Kruse dan rakan sepasukannya yang beraksi di posisi tengah, Patrick Herrmann. - AGENSI

sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140122/sl_01/Rooney-boleh-tinggalkan-United#ixzz2rDvh60jF © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment