Ad

Wednesday, 22 January 2014

Tok Gajah diselubungi tekanan

 
Oleh M. RIZAL NOR
sukan@kosmo.com.my

PERTAHANAN Pahang, Mohd. Shahrizan (kanan) mengasak pemain muda Perak, Ahmad Syukri pada aksi Piala FA di Stadium Perak, Ipoh malam kelmarin.

PERTEMUAN menentang Perak pada aksi pusingan pertama Piala FA di Stadium Perak, Ipoh malam kelmarin ternyata memberi tekanan kepada Pahang.

Biarpun tampil dengan reputasi tinggi selaku juara Piala Malaysia, skuad Tok Gajah itu nyaris tersingkir awal sebelum melakar kemenangan dramatik 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti.

Sebelum itu, Pahang yang masih lagi segar dengan kejayaan menjuarai Piala Sultan Ahmad Shah (Jumaat lalu), dipaksa bekerja keras sepanjang 120 minit perlawanan berlangsung selepas terikat 2-2.

Kapten Pahang, Mohd. Razman Roslan berkata, hampir kesemua pemain Tok Gajah berada dalam keadaan tertekan sepanjang perlawanan itu sehingga menyebabkan mereka hampir tersingkir.

"Walaupun kami terlebih dulu menjaringkan gol tetapi Perak berjaya membalas dengan dua gol, seterusnya memberi tekanan kepada kami.

"Kami rasa sangat tertekan kerana bimbang dimalukan oleh Perak dan menyebabkan kami tersingkir awal dalam saingan Piala FA kali ini.

"Mujur jaringan (Damion) Stewart pada babak kedua membolehkan kami mengikat Perak 2-2 sehingga perlawanan berlanjutan pada masa tambah," kata Razman kepada Kosmo! semalam.

Menurut Razman, para pemain tidak beraksi seperti biasa selain turut gagal mengawal emosi sehingga menyebabkan dua tonggak, Mohd. Azammuddin Akil dan Matias Conti dilayangkan kad kuning.

"Walaupun ramai pemain muda tetapi Perak ternyata bersemangat bermain di tempat mereka sendiri.

"Kami sekali lagi tertekan apabila sepakan penalti yang diambil Faizol (Hussin) dan Azammuddin tidak masuk kerana terkena palang.

"Sekali lagi kami bernasib baik apabila Saiful Nizam (Miswan) menjadi penyelamat apabila sepakan penalti yang diambilnya menghasilkan gol," jelasnya.

Razman memberitahu, skuad Tok Gajah harus menilai semula prestasi masing-masing agar ia segera diperbaiki menjelang perlawanan kedua Liga Super berdepan Sime Darby FC, Sabtu ini.

"Kami tidak boleh leka dan melakukan kesilapan dalam perlawanan tersebut kerana Sime Darby FC memburu kemenangan pertama setelah tewas kepada Kelantan 1-2 sebelum ini," jelasnya.

KOSMO ONLINE 22.1.14

No comments:

Post a Comment