Ad

Saturday, 1 November 2014

Pahang terdesak pertahan gelaran



Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my
 
RAZMAN (kanan) mengetuai pemain Pahang lain dalam menyusun strategi terakhir bersama jurulatih, Zainal Abidin Hassan ketika sesi latihan di Padang SUK Shah Alam, semalam.

KAPTEN Pahang, Razman Roslan mendedahkan moral pasukannya masih dalam keadaan terbaik meskipun dikhabarkan sebahagian besar pemain utama skuad Tok Gajah akan meninggalkan Stadium Darul Makmur pada musim depan menjelang aksi final Piala Malaysia menentang Johor Darul Takzim (Johor DT), malam ini.

Sebaliknya, Razman menegaskan, pasukan bimbingannya semakin ter­desak untuk membantu Pahang mempertahankan status juara bertahan yang mana mereka mahu meninggalkan skuad gergasi Pantai Timur itu de­ngan satu kejayaan manis di akhir kalendar Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Terdahulu, Pahang dijangka mengalami perubahan besar sebagaimana beberapa bintang dalam skuad itu dijangka akan membawa haluan baharu pada musim depan.

Razman, 30, telah dikaitkan dengan negeri kelahirannya, Selangor manakala pemain tengah, Hafiz Kamal berada dalam radar Polis Diraja Malaysia (PDRM) selain pe­nyerang, Fauzi Roslan yang mendapat perhatian Felda United.

Bagaimanapun, pemain kelahiran Kajang itu yang mengecapi tiga kejuaraan dalam tempoh dua musim bersama Pahang iaitu Piala Malaysia 2013, Piala Sumbangsih 2014 dan Piala FA 2014, mengakui situasi tersebut tidak sesekali menganggu fokus barisan pemain Tok Gajah dalam misi merangkul Piala Malaysia buat kali keempat sejak Piala Malaysia diperkenalkan pada tahun 1967.

“Sebenarnya (penghij­rahan pemain-pemain utama Pahang) tidak menganggu kami tetapi kami akan bermati-matian untuk mendapatkan Piala Malaysia musim ini.

“Tidak kira sama ada berpindah atau tidak, sasaran utama adalah mengekalkan Piala Malaysia dan saya berharap kami akan berjaya melakukannya.

“Saya jangka pertemuan menentang Johor DT akan menarik dan masing-masing ada tanggungjawab sendiri,” katanya pada sidang akhbar di Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam.

Dalam perkembangan sama, Razman menggesa rakan-rakan sepasukan agar sentiasa berwaspada dengan setiap ancaman skuad Harimau Selatan yang dijangka diketuai oleh duo berbisa Argentina, Jorge Pereyra Díaz dan Luciano Figueroa.

“Kami tahu mereka ada kelebihan tetapi Pahang juga memiliki keupayaan tersendiri. Apa yang boleh saya katakan adalah kedua-dua pasukan ini adalah seimbang.

“Pahang akan bermain seperti biasa dan saya cukup mengenali (kapten Johor DT) Safiq Rahim. Saya berharap kami dapat mempamerkan satu persembahan lebih positif dan baik,” katanya.

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1101&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz3Ho5zRov4Hakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment