SUBKHI SUDARJI
2 November 2014
Pemain JDT, Diaz (tengah) cuba
melepasi halangan pemain Razman pada perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium
Nasional Bukit Jalil, malam tadi. Pemain JDT, Diaz (tengah) cuba melepasi
halangan pemain Razman pada perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional
Bukit Jalil, malam tadi.
PAHANG melakar sejarah
tersendiri apabila menjulang Piala Malaysia dua tahun berturut-turut selepas
menafikan impian besar Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan penentuan sepakan
penalti 5-3 selepas kedua pasukan terikat 2-2 sepanjang 120 minit dalam
perlawanan akhir Piala Malaysia 2014 edisi ke-88 di Stadium Nasional Bukit
Jalil, malam tadi.
Harimau Selatan yang memulakan
sepakan bermula agak goyah apabila gandingan Safiq Rahim dan Shakir Shaari
sering kehilangan bola menyebabkan perlawanan dikuasai Pahang pada lima minit
pertama.
Percubaan pertama Tok Gajah
memburu gol awal kelihatan pada minit ke-8 apabila hantaran jauh dari Damion
Stewart gagal ditanduk kemas Matias Conti yang melegakan penyokong Harimau
Selatan.
Selang seminit kemudian, pemain
sayap lincah Pahang, R Gopinathan nyata begitu berbisa apabila mudah menewaskan
Mahali Jasuli untuk masuk ke kotak penalti JDT dan melepaskan rembatan namun
tertampan Fadhli Saas.
Harimau Selatan yang tertekan
dengan asakan bertali arus Pahang mempunyai peluang pada minit ke-10 hasil
hantaran pendek Luciano Figueroa dan Pereyra Diaz namun Kapten Pahang, Razman
menafikan hasrat JDT untuk gol pertama.
Kesilapan Mahali Jasuli yang
menjatuhkan Gopinathan di luar kotak penalti pada minit 14 nyata membawa padah
apabila Dickson Nwakaeme menanduk sepakan percuma dari Azidan Sarudin
menewaskan Al – Hafiz untuk gol pertama Pahang.
Tersentak dengan gol tersebut,
ketua Jurulatih JDT, Bojan Hodak meletakkan Mahali di bahagian sayap kanan dan
tempatnya diambil Jasarin Jamaludin bagi mengekang kelincahan Gopinathan.
Perubahan tersebut nyata
mengubah corak permainan Harimau Selatan dengan Safiq serta Shakir mula
memainkan peranan mengerakkan jentera serangan.
Ketua Pasukan JDT, Safiq hampir
menyamakan kedudukan buat pasukan namun rembatannya pada minit ke-18 tertampan
Razman yang melegakan penyokong Tok Gajah.
Bisa gandingan Figueroa dan
Diaz mula kelihatan memasuki minit ke-20 apabila berjaya menemui rentak hasil
hantaran pendek yang mengucar-kacirkan benteng Tok Gajah.
Usaha gigih Harimau Selatan
memburu gol penyamaan terhasil apabila kekalutan dalam kotak penalti Pahang dimanfaatkan sepenuhnya Diaz untuk
merembat bola menewaskan Khairul Azhan pada minit ke-30.
Selang dua minit kemudian,
Harimau Selatan memperolehi sepakan penalti selepas hantaran jauh dari Mahali
kepada Figueroa dalam kawasan penalti
tertampan tangan Razman yang mudah disempurnakan Figueroa untuk mendahului Tok
Gajah.
Pahang cuba menyamakan kedudukan
berbaki dua minit separuh masa pertama namun kekentelan benteng JDT yang
diterajui Antonio, Fadhli, Asrarudin dan Jasarin memastikan kedua pasukan masuk
ke bilik persalinan dengan Harimau Selatan berada di depan.
Memasuki babak kedua, Pahang
yang memulakan sepak terus melancarkan gerakan melalui Gopinathan dan Azamudin
Akil namun gagal memecah benteng JDT.
Peledak berbisa Harimau
Selatan, Diaz hampir meledak gol kedua peribadi dan ketiga pasukan selepas
berjaya menewaskan Khairul Azhan pada minit 52 namun tiang gol sebelah kiri
menjadi penghalang.
Menyedari bahagian tengah
kurang berfungsi, Ketua Jurulatih Pahang, Zainal Abidin Hassan mengeluarkan
Faizol dan memasukan Hafiz Kamal pada
selang lapan minit kemudian sambil Hodak turut membuat pertukaran Mahali dengan
Amirul Hadi Zainal.
Kemasukan Hafiz memberi nafas
di bahagian tengah dan serangan namun ketika Pahang ghairah melancarkan
serangan, Saiful Nizam dilayangkan kad merah kerana mengasari Amri Yahya dalam
kotak penalti ketika Pahang beroleh sepakan penjuru.
Kehilangan seorang pemain tidak
melemahkan Tok Gajah apabila Nwakaeme memastikan perjuangan Pahang berterusan
selepas menyempurnakan hantaran Stewart minit ke-70 untuk menyamakan kedudukan.
Figueroa hampir memastikan
kemenangan mutlak buat JDT namun sepakannya sekali lagi terkena tiang yang
melegakan penyokong Tok Gajah untuk memasuki perlawanan masa tambahan.
Deretan peluang terhidang gagal
dijelmakan jaringan jentera peledak kedua-dua pasukan pada30 minit masa
tambahan memastikan perlawanan ditentukan melalui sepakan penalti yang memihak
Pahang dengan keputusan 5-3.
Sumber Sinar Harian online 2
November 2014
No comments:
Post a Comment