Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN dan
SUFIAN HADI MOHD. SOJAK (sukan@utusan.com.my)
| 02 November 2014 3:25 AM
PAHANG
KUALA LUMPUR - Trofi keagungan
bola sepak negara, Piala Malaysia kekal di bumi Pahang buat tahun kedua
berturut-turut apabila Tok Gajah membenam Johor Darul Ta’zim (JDT) 5-3 menerusi
sepakan penalti selepas terikat 2-2 dalam perlawanan akhir edisi ke-88 di
Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi.
Tambah manis apabila Pahang
terpaksa beraksi dengan 10 pemain sejak minit ke-68 apabila pemain pertahanan
Saiful Nizam Miswan menerima kad merah.
Wira Pahang adalah pemain yang
akan mengubah haluan ke PDRM pada musim hadapan, Mohd. Hafiz Kamal yang
memberikan hadiah perpisahan paling bermakna apabila menyempurnakan sepakan
terakhir bagi memastikan Tok Gajah menjulang Piala Malaysia buat kali keempat.
Pada situasi kedudukan 4-3
selepas sepakan Norshahrul Idlan Talaha berjaya diselamatkan oleh penjaga gol
Pahang, Khairul Azhan Khalid, Hafiz tenang menyepak tinggi ke sebelah kiri
untuk menewaskan Mohd. Al-Hafiz Hamzah.
Ini merupakan gelaran berganda
buat Pahang di bawah kendalian jurulatih, Zainal Abidin Hassan, selepas
merangkul Piala FA musim ini. Ini juga bermakna Pahang melebarkan rekodnya ke
atas juara Liga Super itu kepada lima kemenangan dalam semua pertandingan musim
ini.
Kemenangan itu bukan sesuatu
yang mudah buat Pahang ekoran terpaksa beraksi dengan kekurangan seorang pemain
semenjak minit ke-68 kerana Saiful Nizam dibuang padang kerana menumbuk perut
Mohd. Amri Yahyah ketika pasukannya ketinggalan 1-2.
Namun, api perjuangan Tok Gajah
tidak padam apabila mereka masih mampu bangkit mendapatkan gol penyamaan dua
minit kemudian melalui penyerang dari Nigeria yang digelar Orang Besi, Dickson
Nwakaeme.
Sebelum itu, dia terlebih
dahulu meletakkan Pahang di hadapan pada minit ke-14 apabila menanduk masuk
sepakan bebas Azidan Sarudin dari sebelah kiri gawang JDT.
Walaupun begitu, gol berkenaan
langsung tidak mematahkan semangat JDT yang kelihatan lambat panas dan mereka
secara perlahan-lahan membina momentum untuk menggempur kubu Tok Gajah.
Kelebihan yang dimiliki oleh
Pahang sekadar bertahan 17 minit apabila penyerang dari Argentina, Jorge
Pererya Diaz merembat kencang ke penjuru pintu gol selepas menerima hantaran
menarik rakan senegara, Luciano Figueroa.
Dua minit kemudian, suasana
permainan secara tiba-tiba berubah selepas jaringan berkenaan dan tuah memihak
kepada JDT apabila dianugerah sepakan penalti selepas ketua pasukan Pahang,
Mohd. Razman Roslan menepis bola dengan tangan untuk menghalang Figueroa
mendapatkannya.
Penjaga gol Pahang, Khairul
Azhan Khalid, ternyata tidak dapat menduga arah sepakan Figueroa dan bekas
pemain antarabangsa Argentina itu tidak berdepan masalah untuk merakamkan
jaringan kesembilannya bersama JDT dalam pentas Piala Malaysia.
Walaupun Pahang berjaya bangkit
mendapatkan gol penyamaan di babak kedua, sebenarnya JDT mampu menamatkan
perlawanan akhir itu lebih awal pada minit ke-86 namun tiang menjadi penghalang
biarpun Pererya Diaz telah berjaya menewaskan Khairul Azhan.
Dua kesempatan terbaik buat
Pererya Diaz pada minit kelapan dan 10 masa tambahan gagal dimanfaatkan dengan
kedua-dua percubaannya tersasar untuk memaksa pemenang ditentukan melalui
sepakan penalti.
JDT: Al-Hafiz Hamzah; Asrarudin
Putra Omar, Marcos Antonio Santos, Mohd. Fadhli Shas, Mahalli Jasuli (Amirul
Hadi, m63); Jasazrin Jamaludin, Safiq Rahim (ketua pasukan), Mohd. Shakir
Shaari, Amri Yahyah; Luciano Figueroa, Jorge Pereyra Diaz.
Pahang: Md. Khairul Azhan;
Mohd. Saiful Nizam, Md. Razman Roslan (ketua pasukan), Damion Steward, Md.
Shahrizan Md. Salleh; Azamuddin Md. Akil, Azidan Sarudin, Mohd. Faizol Hussien
(Mohd. Hafiz Kamal, m63), R. Gopinathan; Matias Conti (Zeshan Rehman, m77),
Dickson Nwakaeme.
-sumber:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/tok-gajah-rangkul-trofi-kedua-1.19573#sthash.E6ADjoUw.dpuf
No comments:
Post a Comment