Ad

Saturday 11 January 2014

4 faktor jayakan jihad pendidikan

 Oleh ZAMZURINA AHMAD-zamzurina.ahmad@utusan.com.my
Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan anugerah kepada pelajar-pelajar sekolah dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan UPSR & PMR 2013 Parlimen Pekan di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pekan, Pahang semalam. Turut kelihatan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda Pahang, Datuk Abu Bakar Harun (kiri) dan Ahmad Azmey Abu Talib (tiga kiri). - mingguan/AHMAD ZAKKI JILAN
PEKAN 11 Jan. - Datuk Seri Najib Tun Razak menggariskan empat faktor penting untuk menjayakan jihad dalam bidang pendidikan sebagai jaminan pembentukan modal insan berkualiti bagi memastikan pembangunan negara setanding dengan negara-negara maju lain.

Menurut Perdana Menteri, kejayaan dalam bidang pendidikan ditentukan dengan beberapa faktor iaitu pengurusan sekolah yang baik, guru berdedikasi, pemantauan daripada ibu bapa dan para pelajar yang mempunyai jati diri tinggi serta kepemimpinan politik yang stabil.

"Semua faktor ini kalau digembleng dengan baik pastinya dapat melahirkan modal insan yang cemerlang dan akhirnya menjadi sebuah negara yang maju iaitu advance economy.

"Jika kita lihat Korea dan Jepun, mereka tidak bergantung kepada kekayaan hasil bumi iaitu tanah yang subur atau pengeluaran minyak yang banyak tetapi mereka menjadi sebuah negara maju dengan hanya memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Anugerah Kecemerlangan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2013 di Parlimen Pekan di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengurus Besar Yayasan Pahang, Datuk Saariah Saad dan Pengerusi Pengelola program, Datuk Ahmad Azmey Abu Talib.

Dalam majlis tersebut, sebanyak 615 pelajar cemerlang menerima RM200 seorang daripada Yayasan Pahang dan Yayasan Rahah.

Mengulas lanjut Najib berkata, Korea misalnya begitu menekankan bidang pendidikan dalam usaha melahirkan modal insan cemerlang sehingga mampu menguasai bidang teknologi maklumat, komunikasi dan automotif.

"Cuba kita fikirkan apa yang tiada di Malaysia. Bandingkan apa kekurangan kita? Kesungguhan kita untuk memburu kecemerlangan yang membezakan kita.

"Sebagai contoh, produk Samsung yang begitu laris, rakyat Korea tak ada hasil apa pun, setitik minyak pun tidak ada tetapi atas kesungguhan mereka dalam melahirkan modal insan cemerlang, mereka kini berjaya sebagai peneraju dalam ekonomi," katanya.

Perdana Menteri berharap mesej ingin disampaikan dalam jihad pendidikan dapat menjadikan Malaysia sebuah negara yang luar biasa sekali gus mengangkat martabatnya.

SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140112/dn_02/4-faktor-jayakan-jihad-pendidikan#ixzz2q8XtidFj © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment