Ad

Saturday, 11 January 2014

Geng remaja tembak 31 premis

 Oleh TARMIZI ABDUL RAHIM
pengarang@utusan.com.my
 
Rakaman CCTV menunjukkan dua remaja bertindak samseng memecah cermin premis perniagaan menggunakan senapang angin di sekitar Kota Kinabalu dan Penampang, malam kelmarin.
KOTA KINABALU 11 Jan. - Sebanyak 31 premis perniagaan termasuk lima buah hotel dan tiga bank di beberapa kawasan di sini dan Penampang dekat sini, rosak selepas pintu dan dinding cerminnya pecah dipercayai ditembak oleh sekumpulan remaja nakal lewat malam tadi.

Kumpulan remaja itu yang menaiki tiga buah kenderaan dipercayai melepaskan tembakan tersebut menggunakan senapang angin.

Kejadian selama sejam bermula pukul 11.45 malam itu turut menjadikan pusat kecantikan, pusat hiburan dan restoran makanan segera sebagai sasaran.

Walau bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu yang membabitkan 13 premis perniagaan di Karamunsing, Luyang (9), Inanam (3) dan Penampang (6).

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Jauteh Dikun berkata, siasatan awal mendapati perbuatan itu didalangi oleh sekumpulan remaja yang dianggarkan melebihi enam orang dan dilakukan serentak di tiga lokasi terbabit dalam tempoh satu jam.

"Kesemua premis berkenaan mengalami kerosakan seperti cerminnya pecah dan kesan lubang pada bahagian pintu dan dinding kaca. Pemeriksaan awal menemukan tiga butir guli yang dipercayai digunakan sebagai peluru senapang angin itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Jauteh, pihak polis masih mengesan identiti kesemua suspek dan hasil maklumat awal daripada beberapa kamera litar tertutup mendapati, mereka menggunakan dua buah kenderaan pacuan empat roda dan sebuah kereta.

Kata beliau, sehingga kini tiada tangkapan dibuat dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana kesalahan melakukan khianat.

Ditanya adakah insiden itu mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas memandangkan pada masa ini perbicaraan 30 individu dipercayai pengganas sedang berjalan di Penjara Kepayan, di sini, Jauteh menegaskan, kejadian itu tiada kaitan langsung dengan kumpulan pengganas.

"Perbuatan ini dilakukan oleh sekumpulan remaja nakal yang tidak bertanggungjawab semata-mata bertujuan untuk menimbulkan kerisauan dalam kalangan orang awam.

"Saya minta orang awam terutamanya yang berada di sekitar bandar raya ini agar tidak panik," katanya

SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140112/je_01/Geng-remaja-tembak-31-premis#ixzz2q8ZUIZhj © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment