21/01/2014 8:36am
PUTRAJAYA - Semangat pasukan
penggempur pendatang asing tanpa izin (PATI) bertambah membara apabila
mendapati Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sendiri sanggup
bersengkang mata untuk bersama-sama memberkas golongan tersebut.
Kesanggupan Ahmad Zahid
membuktikan bahawa beliau telah mengotakan janji untuk bersama-sama anak
buahnya menggempur PATI yang masih berdegil menetap di negara ini secara haram.
"Di mana bumi dipijak, di
situ langit dijunjung. Kita jangan lagi memberi muka kepada puak yang mencabar
kita dengan sengaja melanggar undang-undang," katanya ketika berucap di
hadapan 500 anggota penguat kuasa di Jabatan Imigresen Malaysia di sini malam
tadi.
Tambahnya, pemerhatian pihaknya
mendapati ada segelintir PATI yang sengaja menunggu di saat akhir untuk
mendaftar sedangkan kerajaan telah memberi masa selama tiga bulan bermula 20
November tahun lalu.
Menurut Ahmad Zahid, tidak ada
lagi tempoh lanjutan untuk program pemutihan PATI dan mereka akan diburu
habis-habisan bermula pukul 12.01 tengah malam tadi di seluruh negara.
"Sebelum ini ada PATI yang
mendakwa dokumen mereka dipegang oleh agensi yang telah menipu mereka. Kita
kemudian telah mengarahkan mereka.membuat laporan polis sebagai tanda simpati.
"Namun, pendekatan
berlembut itu nampaknya seperti dipermain-mainkan. Oleh itu kita mengambil
keputusan untuk mengambil tindakan tegas dan tidak ada lagi kompromi,"
tegasnya.
Selain imigresen, operasi
bersepadu itu juga melibatkan polis, Jabatan Pendaftaran Negara, Ikatan Relawan
Rakyat dan Pasukan Gerakan Am. - KOSMO!
KOSMO ONLINE 21.1.14
No comments:
Post a Comment