GAMBAR fail menunjukkan Sharon
(kanan) dan Presiden Palestin,
Mahmoud Abbas di sebuah resort
di Sharm el-Sheikh, Mesir pada 8 Februari 2005.
TEL AVIV - Bekas Perdana
Menteri ke-11 Israel, Ariel Sharon yang turut dikenali sebagai 'Penyembelih
Beirut' akhirnya menemui ajal di Pusat Perubatan Shena di Tel Hashomer semalam
semasa berusia 85 tahun, lapan tahun selepas beliau berada dalam keadaan koma.
Anggota-anggota keluarganya
berkumpul di pusat perubatan tersebut untuk berada bersamanya pada saat-saat
akhir kematiannya.
Dua anak lelakinya, Omri dan
Gilad kerap berada di sisinya sejak 1 Januari lalu selepas beberapa organ dalam
tubuhnya tidak lagi berfungsi.
Mayat Sharon akan diletakkan di
dalam bangunan Parlimen Israel sebelum ditanam di ladang miliknya di Negev di
sebelah kubur isterinya, Lily yang meninggal dunia pada tahun 2000.
Beberapa organ penting Sharon
termasuk ginjal dan paru-parunya gagal berfungsi sebelum beliau meninggal
dunia.
Menurut akhbar Jerusalem Post,
tekanan darah dan degupan jantungnya kembali normal pada Isnin lalu.
Namun, tekanan darah dan
degupan jantungnya semakin lemah pada Khamis lalu.
Sharon diserang koma pada
Januari 2006.
Sejak itu beliau hidup dengan
menggunakan peralatan sokongan hayat.
Seorang jururawat yang pernah
menjaganya di pusat perubatan itu, Marina Lifshitz memberitahu para pemberita,
Sharon pernah menyentuh tangannya dan mengangkat keningnya.
Menurutnya, pada satu pagi,
jururawat tersebut telah menunjukkan gambar isteri Sharon.
"Air matanya kemudian
menitis. Sukar untuk melupakan detik itu.
"Malangnya, saya tidak
mengetahuinya bila beliau menjadi Perdana Menteri.
Sharon yang pernah menjadi
pegawai tinggi tentera Israel memainkan peranan penting dalam kemenangan regim
Zionis di Sinai dalam Perang Enam Hari pada tahun 1967 dan Perang Yom Kippur
pada tahun 1973.
Ekoran kemenangan itu, beliau
diberi gelaran Arik, Raja Israel.
Pada tahun 1982, semasa
memegang jawatan Menteri Pertahanan, beliau memantau Perang Lebanon yang
melibatkan Israel.
Namun, beliau terpaksa
meletakkan jawatan itu pada tahun 1983 selepas berlakunya kejadian pembunuhan
melibatkan 800 dan 2,000 orang pelarian Palestin di kem Sabra serta Shatilla.
Penyingkiran itu berlaku
selepas Suruhanjaya Siasatan Kahn mendapati, beliau terlibat secara langsung
dalam serangan tersebut yang dilakukan kumpulan militan Kristian Phalangist di
Lebanon.
Sharon menjadi Perdana Menteri
Israel pada tahun 2001.
Dia bawah kepimpinannya, Israel
mula membina tembok keselamatan di Tebing Barat.
Sharon menggunakan karier
politiknya dan kedudukannya dalam Kabinet untuk membina puluhan penempatan
haram di Tebing Barat dan Gaza walaupun terdapat bantahan dalam kalangan
masyarakat antarabangsa.
Beliau mendesak peneroka haram
Yahudi untuk menduduki tanah di Palestin sebelum perjanjian dicapai dengan para
pemimpin Palestin.
Sementara itu, penduduk
Palestin menyambut dengan gembira kematian Sharon.
Seorang pegawai kanan
pergerakan Fatah di Palestin, Jibril Rajub berkata, Sharon merupakan seorang
penjenayah yang tidak pernah dihadapkan ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa.
"Sharon merupakan seorang
penjenayah dan bertanggungjawab ke atas pembunuhan bekas Presiden Palestin,
Yasser Arafat," katanya.
Arafat meninggal dunia di
sebuah hospital tentera di Paris pada 11 November 2004.
Terdapat dakwaan yang dibuat
beberapa pegawai kanan Palestin bahawa Arafat mati kerana terkena bahan
radioaktif.
Dalam pada itu, pergerakan
Hamas yang menguasai Genting Gaza turut menyambut baik kematian Sharon dengan
menggelarkannya sebagai penjenayah.
"Sharon merupakan seorang
penjenayah dan beliau merupakan antara orang yang menyebabkan malapetaka
berlaku ke atas penduduk Palestin," kata jurucakap pergerakan itu, Salah
el-Bardaweel.
"Kami berdoa kepada Allah
supaya Sharon dan semua pemimpin regim Zionis dihantar ke neraka kerana
melakukan pembunuhan ke atas penduduk kami.
"Apabila penduduk Palestin
mengingati Sharon, mereka akan mengingati kesakitan, darah, penyeksaan dan
jenayah.
"Kami tidak akan berasa
kesal dengan kematiannya," tambah Salah. - Agensi
SUMBER : KOSMO ONLINE 12.1.14
No comments:
Post a Comment