Azizulhasni Awang kecewa kerana
dibatalkan penyertaan dalam perlumbaan akhir acara keirin di Guadalajara,
Mexico semalam.
KUALA LUMPUR - Keputusan
meragukan oleh komisar perlumbaan meragut peluang pelumba berbasikal trek
negara, Azizulhasni Awang untuk meraih pingat sulung dalam acara keirin di Siri
Piala Dunia Klasik III di Guadalajara, Mexico semalam.
Selepas berusaha keras untuk
melayakkan diri ke persaingan akhir, Azizulhasni dan pelumba Jerman, Joachim
Eilers dikatakan melakukan kesilapan dengan memintas derny terlalu awal dan
penyertaan mereka dibatalkan oleh komisar.
Pelumba kelahiran Dungun,
Terengganu itu berkata, dia terkejut dan terpinga-pinga selepas disuruh
berhenti berkayuh dan perlumbaan dimulakan semula dengan hanya membabitkan
empat orang pelumba.
Menurut Azizulhasni, selepas
melihat kembali rakaman video, dia tidak salah kerana memintas derny pada waktu
yang sesuai selepas penunggang motosikal tersebut membuka ruang untuk pelumba
mengambil tempat dan memulakan pecutan.
"Pelumba Jerman (Eilers)
sudah berada di depan sebelum derny membuka ruang, diikuti pelumba-pelumba lain
yang mengekorinya, jadi saya juga mengambil keputusan untuk keluar kerana tidak
mahu sangkut di belakang derny," katanya kepada Utusan Malaysia melalui
Facebook semalam.
Jelasnya, apabila ada pelumba
yang mula mengorak langkah ke depan maka dia juga mengambil keputusan yang
sama.
Oleh itu dia berasa hairan
kenapa dia dibatalkan.
"Kalau komisar hendak
membatalkan perlumbaan sepatutnya hanya pelumba Jerman itu seorang sahaja
kerana memang ketara dia yang memulakan semuanya.
"Sudah sampai pusingan
yang ketiga selepas derny membuka ruang, mereka tiba-tiba memberhentikan
perlumbaan dan menyuruh saya dan Eilers berhenti di tepi, selepas itu mereka
cepat-cepat memulakan perlumbaan," kata pelumba yang terkenal dengan
gelaran The Pocketrocketman itu.
Katanya, dia tidak sempat untuk
bertanyakan tentang kesalahannya apatah lagi hendak membuat protes.
Perlumbaan itu dimenangi oleh
Matthijs Buchli dari Belanda, diikuti Santiago Ramirez (Colombia) dan Alexander
Oliva Lewis (Britain).
"Mereka membuat keputusan
sesuka hati, saya memang bengang dengan keputusan ini kerana mempunyai peluang
besar untuk menaiki podium malam ini (semalam)," katanya yang akan beraksi
dalam acara pecut hari ini.
Sementara itu, pelumba wanita
negara, Fatehah Mustapa menduduki tempat ke-14 acara pecut selepas terkandas di
pusingan suku akhir B. Dia tumpas di tangan pelumba Britain, Dannielle Khan.
Seorang lagi pelumba wanita
negara, Ju Pha Som Net menduduki tempat ke-12 dalam perlumbaan scratch
SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140120/su_02/Azizulhasni-bengang-komisar-batal-penyertaannya-dalam-akhir-keirin#ixzz2qw0z8e7W
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment