Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Persatuan
Badminton Malaysia (BAM) perlu berbincang dengan Datuk Lee Chong Wei selepas
pemain nombor satu dunia itu menyatakan hasrat untuk menggantung raket pada
hujung tahun ini.
Menurut Presiden BAM, Tan Sri
Tengku Mahaleel Tengku Ariff, perkara tersebut masih belum dibincangkan lagi
dan mereka menganggap apa yang dikatakan oleh Chong Wei itu masih belum
muktamad, dan pihaknya menganggap luahan Chong Wei itu lebih kepada menyatakan
sebuah hasrat.
Chong Wei menyatakan hasratnya
itu kepada wartawan selepas memenangi Terbuka Malaysia buat kali kesepuluh
kelmarin.
"Ia hanya hasrat sahaja,
kita juga ada banyak hasrat, seperti hendak ke bulan tetapi tidak boleh pergi
kerana tiada roket. Selepas dia berjaya muncul juara semalam (kelmarin) ia
adalah satu cabaran buat BAM dan juga pemain pelapis," katanya kepada
media selepas memeterai perjanjian dengan XOX Mobile Berhad semalam.
Jelasnya, selepas mendengar
hasrat daripada Chong Wei, BAM dan barisan jurulatih perlu berkerja kuat untuk
meningkatkan lagi pemain pelapis secepat mungkin kerana mereka mempunyai ramai
pemain muda berbakat.
"Kalau Chong Wei
mengurangkan kejohanan yang akan disertainya saya rasa dia boleh bermain lagi,
kami bukannya mahu menekan seorang pemain untuk main sampai tubuh badannya berasa
tidak selesa. Itu semua bergantung kepada keadaan fizikalnya, jadi kami akan
berbincang semula dengannya.
"Memang kalau boleh kami
mahu dia bermain selama-lamanya kerana dia seorang pemain yang unik, tiada
siapa boleh menang sampai sepuluh kali dalam sesuatu kejohanan," katanya.
Ditanya mengenai pasangan
beregu, Goh V Shem-Lim Khim Wah yang berjaya muncul juara kelmarin, Tengku
Mahaleel berkata, mereka mencabar kedua-dua pemain tersebut untuk
sekurang-kurangnya menduduki rangking sepuluh atau lima terbaik dunia secepat
mungkin.
"Bermain acara beregu
seperti hubungan suami dan isteri, ada kalanya bergaduh tetapi janganlah sampai
bercerai. Salah faham sebelum ini nampaknya sudah selesai, mereka sudah faham
antara satu sama lain sekarang, selepas tiga kejohanan digandingkan semula
mereka sudah mampu menjadi juara.
"Selepas berjaya
menumbangkan gandingan nombor tiga dunia, Mathias Boe-Carsten Mogensen
permainan mereka boleh dipertingkatkan lagi. Kemenangan mereka seperti satu
cahaya menjelang Piala Thomas 2014 kerana kita sudah mempunyai tiga pasangan
beregu lelaki. Hoon Thien How-Tan Wee Kiong juga sudah menunjukkan peningkatan
dalam empat bulan (selain pasangan senior Koo Kien Keat-Tan Boon Heong).
Dalam masa yang sama Tengku
Mahaleel tidak mahu memanjangkan lagi isu Pengurus Besar BAM, Kenny Goh yang
menyatakan hasrat untuk meletak jawatan dan menganggap perkara itu sudah
selesai selepas Mesyuarat Majlis Sabtu lalu.
"Tidak payah (bertanyakan
tentang Kenny), dia pun sudah ada di sini dan tidak meletak jawatan. Pada
Mesyuarat Majlis semua menyokong dia supaya kekal, saya pun menyokongnya jadi
dia tidak meletak jawatan," katanya.
SUMBER:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140121/su_04/BAM-Chong-Wei-perlu-bincang#ixzz2r0kW9fym
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment