NAY PYI TAW 20 Jan. - Malaysia
berjaya mencapai sasaran 50 pingat emas pada temasya Sukan Para ASEAN Ketujuh
yang melabuhkan tirainya hari ini.
Kontinjen negara mencapai
sasaran tersebut apabila atlet olahraga, Shamli Waidi merangkul emas terakhir
negara serta mencipta rekod baharu temasya sukan itu menerusi acara merejam
lembing lelaki F36 (Cerebral Palsy).
Pada hari terakhir acara
olahraga semalam, Shamli melakukan catatan 37.21m, sekali gus memadam rekod 36m
yang dipegang oleh seorang lagi atlet Malaysia, Mohd. Nizam Niam Abdullah pada
edisi 2008 di Thailand.
Pencapaian emas oleh Shamli itu
berikutan keputusan penganjur untuk menggabungkan dua klasifikasi atlet iaitu
F36 dan F37 pada mesyuarat penilaian semula semua acara oleh ketua-ketua
kontinjen hari ini.
"Ini semestinya satu
keputusan yang menggembirakan kontinjen negara," kata Pengarah Cawangan
Paralimpik, Majlis Sukan Negara (MSN) Mohd. Safrusahar Yusuf.
Selepas penilaian semula itu,
skuad olahraga yang terdiri daripada 38 atlet membawa pulang 37 pingat emas, 26
perak dan tujuh gangsa.
Selepas menamatkan saingan
selama lima hari itu, Malaysia menduduki tangga ketiga keseluruhan dengan
merangkul 50 emas, 49 perak dan 41 gangsa.
Indonesia muncul juara
keseluruhan dengan 99 emas, 69 perak dan 49 gangsa diikuti Thailand dengan 96
emas, 82 perak dan 70 gangsa.
Tuan rumah, Myanmar menghuni
tangga kelima dengan pungutan 34 pingat emas, 26 perak dan 36 gangsa.
Sementara itu, di Putrajaya,
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin memuji pencapaian atlet paralimpik
negara kerana menepati sasaran pungutan pingat emas.
Beliau berkata, atlet
paralimpik tidak pernah mengecewakan negara dengan menampilkan prestasi terpuji
pada setiap temasya yang disertai.
"Pembawa Jalur Gemilang,
Muhammad Ziyad Zolkefli (misalnya) menjanjikan dua emas kepada saya dan beliau
berjaya menunaikan janji itu.
"Atlet paralimpik tidak
pernah mengecewakan kita," katanya kepada pemberita ketika diminta
mengulas pencapaian kontinjen negara pada temasya itu. - Bernama
SUMBER:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140120/su_13/Sukan-Para-ASEAN-Shamli-lengkapkan-emas-ke-50-Malaysia#ixzz2r0jk6YWQ
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment