Ad

Monday 13 January 2014

Bekas wira Sarawak meninggal dunia

 
BEKAS pemain bola sepak Sarawak era 1990-an, Sazali Mohamed Ramli (gambar dlm bulatan), 45, meninggal dunia pagi semalam, dipercayai akibat serangan jantung.

Allahyarham merupakan seorang polis bantuan Petronas di Bintulu.

Pengurus Besar Petronas Wilayah Sarawak, Datin Mary Sadiah Zainuddin berkata, beliau dimaklum ketika kejadian, Sazali berjoging di sebuah taman di Bintulu.

"Ketika ditemui, Allahyarham sudah tidak bernyawa lagi," katanya.

Beliau berkata, kematian Sazali amat mengejutkan kerana sebelum ini rekod kesihatan Allahyarham adalah bersih selain tiada tanda menghidap sebarang penyakit.

"Allahyarham juga merupakan seorang pekerja berdedikasi dan pemain bola sepak yang hebat.

"Kematiannya adalah satu kehilangan besar kepada Petronas dan juga bola sepak Sarawak," kata Mary yang juga isteri kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak, Datuk Sudarsono Osman.

Sazali mewakili Sarawak dalam Liga Malaysia ketika skuad Bujang Senang itu dikendali jurulatih dari Australia, Alan Vest.

Pemain yang seangkatan dengan Allahyarham ialah John Hunter, Jeff Curan, David Evans, Dahlan Matusin, Roslan Ismail, Abdul Jalil Ramli dan Ibrahim Mentali.

Semasa zaman kegemilangannya, Sazali berpasangan dengan Hunter di barisan serangan dan merupakan penjaring utama Sarawak.

Sazali dijulang sebagai wira apabila meledak satu gol ketika Sarawak membenam Kuala Lumpur pada final Piala FA 1992.

SUMBER : KOSMO ONLINE 13.1.14

No comments:

Post a Comment