Ad

Monday, 13 January 2014

Tiga individu diminta berundur

 
AHMAD (kiri) bersalaman dengan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong selepas mesyuarat Jawatankuasa Kerja MSN, PSM di Bukit Jalil minggu lalu.

"LETAK jawatan."

Demikian reaksi bekas tekong skuad sepak takraw negara, Rommi Suhendra pada sidang akhbar tergempar yang diadakan di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur semalam.

Rommi yang bertindak selaku Presiden Persatuan Bekas-bekas Pemain Sepak Takraw Kebangsaan (PBPSK) menyuarakan rasa kecewa terhadap pihak pengurusan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) yang dianggap gagal melaksanakan tugas dan amanah dengan sebaik mungkin.

Justeru, mereka mahukan tiga individu dalam badan induk tersebut - Presiden, Datuk Ahmad Ismail, Setiausaha Agung, Datuk Arshad Yahya dan Penolong Setiausaha I PSM, Tengku Adnan Tengku Burhanuddin meletakkan jawatan.

Rommi, 35, dan rakan-rakannya turut mahukan ketiga-tiga individu terbabit bertanggungjawab ekoran prestasi buruk skuad sepak takraw negara sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

"Kami memang tidak berpuas hati dengan pengurusan pihak atasan (PSM). Gantilah dengan orang yang lebih matang dan mempunyai niat yang betul untuk majukan sukan sepak takraw.

"Prestasi merudum skuad negara sekarang ini berpunca daripada kredibiliti pihak pengurusan itu sendiri yang membuatkan para pemain bermain dengan tidak bagus.

"Masalah dalaman ini secara tidak langsung mengganggu fikiran para pemain. Apabila kalah, kelemahan pihak pengurusan tersorok dengan cara menyalahkan pemain-pemain.

"PSM haruslah sedar dengan perkara sebegini. Jangan terlalu mengamalkan sikap kroni dan mempolitikkan sukan sepak takraw," tegasnya.

Rommi menjelaskan, PBPK telah diwujudkan bulan lalu atas tujuan mahu kembalikan kebangkitan sukan negara di persada antarabangsa.

"Kebajikan bekas-bekas pemain juga tak terjaga. Kami diibaratkan seperti besi karat yang semakin reput di mata PSM. Apa yang peting, kami tiada niat mahu memburukkan atau menjatuhkan PSM.

"Memang saya akui kalah menang itu adat permainan tetapi kalau kalah 3-15, itu apa pula? Sekarang ini biar rakyat sendiri tahu apa yang terjadi. Bila kami bersuara, mereka fikir kami mahu menentang mereka.

"Kami boleh duduk berbincang bersama-sama. Kami tidak akan mengadap kalau tidak dipanggil, umpama seperti pergi kenduri orang tidak dijemput," katanya yang mewakili negara pada Sukan Asia 1998 dan Sukan SEA 1999.

Sementara itu, bekas apit kanan negara, Mohd. Futra Abdul Ghani berkata, sukan sepak takraw negara kini berada pada tahap kritikal.

"Prestasi makin teruk. Alasan yang diberikan hanyalah wayang politik semata-mata. Demi kebaikan PSM, eloklah mereka berundur.

"Terimalah hakikat ini dengan profesional. Pandanglah kami bukan sebagai pemain tetapi rakyat yang cintakan sukan sepak takraw negara," kata Futra yang memenangi emas pada Sukan SEA 2005 di Manila, Filipina.

Selain Rommi dan Futra, desakan yang sama turut disuarakan oleh Shaari Hashim, Razaiman Hassan, Rosli Abdul Rahman dan Jamrai Idris.

SUMBER : KOSMO ONLINE 13.1.14

No comments:

Post a Comment