JAGUH negara, Datuk Lee Chong
Wei terlepas peluang mempertahankan gelaran juara kejohanan badminton Siri
Super Terbuka Korea 2014.
Tampil selaku juara tiga edisi
- 2010, 2012 dan 2013, Chong Wei sekali lagi terpaksa akur dengan kehebatan
bintang muda China, Chen Long apabila tewas 14-21, 15-21 di pentas final pada
aksi yang berlangsung selama 56 minit di Gimnasium Olimpik 2, Seoul semalam.
"Saya fikir, kekalahan
saya pada set pertama adalah berpunca daripada sikap saya sendiri. Saya kurang
sabar dan kerap membuat kesilapan kecil.
"Pada set kedua, saya
berjaya mendahului dengan baik tetapi saya tersilap percaturan, Chen Long pula
berjaya mendapat keyakinan untuk bangkit semula.
"Secara keseluruhan, saya
akui Chen Long bermain sangat bagus hari ini (semalam)," jelas Chong Wei.
Bagaimanapun, Chong Wei
menjelaskan, dia tidak begitu bimbang terlepas gelaran Super Siri pertama itu
bagi tahun ini.
"Saya akan kembali memberi
tumpuan pada Terbuka Malaysia dan selepas itu, saya akan mula memilih
kejohanan. Saya akan cuba perlahankan sedikit rentak saya selepas ini.
"Sasaran saya tahun ini
bukan hanya Siri Super. Banyak lagi kejohanan termasuk Kejohanan Dunia dan
Seluruh England yang perlu diberi perhatian.
"Sudah tentu saya akan
memberi tumpuan yang lebih kepada kejohanan tersebut," kata pemegang
pingat perak Sukan Olimpik dua kali itu.
Dalam pada itu, jurulatih
perseorangan negara, Rashid Sidek mengakui corak permainan Chen Long lebih
kemas sehingga memerangkap langkah Chong Wei.
"Strategi hantaran jauh
yang dilakukan Chen Long banyak memerangkap Chong Wei. Serangan dan permainan
rali juga sukar dimatikan Chong Wei.
"Secara keseluruhan,
pertahanan dan penguasaan yang ditampilkan Chen Long sangat bagus," ujar
Rashid.
SUMBER : BERITA HARIAN ONLINE 13.1.14
No comments:
Post a Comment