JANUZAJ (tengah) menjadi nadi
penggerak kepada kemenangan United ketika menewaskan Swansea 2-0 kelmarin
dengan membantu Valencia dan Welbeck menjaringkan gol.
MANCHESTER – Pengurus
Manchester United, David Moyes menolak dakwaan mengatakan penyerang Robin Van
Persie yang mengalami kecederaan terpaksa diketepikan dalam tempoh lebih panjang
berbanding enam minggu sebelum ini.
Malah, pengendali berusia 50
tahun itu menegaskan bahawa beliau sedang cuba menangani tekanan daripada
masalah semasa yang dialami The Red Devils ketika ini.
Kebimbangan itu berjaya
dikurangkan dengan kemenangan 2-0 United ke atas Swansea City pada aksi Liga
Perdana England di Stadium Old Trafford, awal pagi semalam.
Kejayaan tersebut sekaligus
membuatkan bekas pengurus Everton yang mengambil alih tugas Alex Ferguson pada
awal musim ini berjaya mengelakkan kekalahan keempat berturut-turut United buat
kali pertama dalam tempoh 53 tahun.
Lebih manis apabila kemenangan
itu berpunca daripada kecemerlangan pemain muda United, Adnan Januzaj yang
menjadi nadi utama pasukan termasuk membantu Antonio Valencia dan Danny Welbeck
mencetak gol pada minit ke-47 dan 59 perlawanan.
Bagaimanapun, suasana di Old
Trafford kini lebih hangat memperkatakan mengenai penyerang utama, Van Persie
yang tidak dapat beraksi selama sebulan setengah kerana kecederaan pangkal paha
yang masih berterusan.
“Saya tidak tahu dari mana
datangnya perkara itu. Ia adalah satu maklumat yang salah,” jelas Moyes.
Penyerang antarabangsa Belanda
itu yang pulang ke negara kelahirannya bagi menjalani rawatan intensif dilihat
hadir sebagai penonton pada perlawanan menentang Swansea di Old Trafford, awal
pagi semalam.
Namun, Moyes dilaporkan enggan
memberikan tarikh spesifik terhadap kepulangan Van Persie ke dalam skuad utama
United dan ia menguatkan lagi spekulasi bahawa masalah tersebut tidak semudah
seperti yang dijangka. – AFP
SUMBER : BERITA HARIAN ONLINE 13.1.14
No comments:
Post a Comment