Ad

Monday 13 January 2014

90 peratus hampir pasti


 

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my
TROUSSIER turut dikatakan menjadi buruan Tunisia.

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) dikatakan semakin hampir untuk mendapatkan khidmat bekas jurulatih Jepun, Philippe Troussier.

Perkara itu didedahkan oleh satu sumber yang rapat dengan badan induk tersebut kepada Kosmo! semalam.

Beliau yang enggan dikenali memberitahu, rundingan bagi menyelesaikan perjanjian antara Troussier dan FAM dijangka selesai dalam tempoh terdekat.

Menurut beliau, Presiden FAM. Sultan Ahmad Shah dan Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin telah menemui Troussier di London baru-baru ini.

“Troussier telah bertemu dengan Presiden FAM (Sultan Ahmad Shah) di London.

“Bagaimanapun, kita akan tahu sehari dua lagi sama ada Troussier atau jurulatih lain yang akan dipilih sebagai jurulatih baharu Harimau Malaya.

“Apa yang boleh saya katakan, 90 peratus hampir pasti (Troussier bakal dilantik sebagai jurulatih baharu Harimau Malaya),” katanya kepada Kosmo! semalam.

Troussier turut dikatakan menjadi buruan Persatuan Bola Sepak Tunisia (FTF) yang terdesak untuk melantik jurulatih baharu dalam usaha mempersiapkan pasukan menjelang aksi kelayakan Piala Negara-Negara Afrika September depan.

Sebagai rekod, Troussier pernah mengendali tujuh pasukan kebangsaan - Ivory Coast, Nigeria, Burkina Faso, Afrika Selatan, Jepun, Qatar dan Maghribi.

Antara kejayaan terbesar bekas jurulatih kelab FC Ryukyu itu adalah berjaya membimbing Jepun layak ke pusingan kalah mati Piala Dunia 2002.

Begitupun, FAM dilihat berdepan kos tinggi jika berhajat untuk melantik Troussier yang dikatakan menuntut pendapatan tahunan sebanyak AS$1.52 juta (RM5 juta) setahun.

Difahamkan, FAM akan beralih perhatian kepada calon No. 2 - bekas jurulatih AS Roma, Zdenak Zeman yang dilihat lebih ‘murah’ jika mereka gagal memenuhi tuntutan Troussier.

FAM turut dikhabarkan telah mengadakan pertemuan dengan ejen Zeman di London baru-baru ini.

Sebelum ini, Hamidin memaklumkan bahawa FAM hanya bersedia untuk mengumumkan nama jurulatih baharu Harimau Malaya selewat-lewatnya bulan depan.

Ketika ini, pengendali Harimau Muda A, Datuk Ong Kim Swee ditugaskan menjadi jurulatih sementara Harimau Malaya.

SUMBER : BERITA HARIAN ONLINE 11.1.14

No comments:

Post a Comment