Oleh NOR AZIRAN YUNUS
aziran.yunus@kosmo.com.my
SARAWAK semakin hampir berada
di landasan terbaik bagi menghadapi kempen Liga Malaysia (Liga M) 2014.
Menurut pengendali Sarawak,
Robert Alberts, kesemua pemain serta pegawai skuad Bujang Senang kini mengikuti
kem motivasi di Borneo Highlands Resort, Kuching.
"Para pemain serta pegawai
pasukan akan menyertai kem motivasi dalam beberapa hari untuk mempertingkatkan
fokus serta menetapkan sasaran dalam diri sebelum saingan lebih mencabar musim
ini bermula.
"Setakat ini, boleh saya
sifatkan skuad kami 75 peratus sudah bersedia untuk saingan musim baharu
ini," kata Alberts kepada pemberita kelmarin.
Alberts ditemui selepas aksi
'pemanas badan' terakhir skuad Bujang Senang menentang KL SPA Putrajaya di
Stadium Negeri, Kuching yang menyaksikan Sarawak menang bergaya 5-0.
Joseph Kalang Tie meledak dua
gol manakala Mohd. Rashid Aya, Muamer Salibasic dan Alireza Abbasfard
masing-masing menyumbang satu gol.
"Sememangnya dalam
pertemuan itu, saya ingin melihat barisan serangan menjaringkan gol sebanyak
mungkin tetapi saya lihat masih banyak aspek yang perlu digilap dan
dipertajamkan.
"Semua pemain juga sudah
bebas daripada sebarang kecederaan kecuali Mafry Balang yang masih memerlukan
tempoh beberapa hari lagi untuk sembuh daripada kecederaan kaki.
"Junior Eldstal juga sudah
mula menunjukkan tanda-tanda positif dan saya yakin dia mampu memainkan peranan
lebih besar kepada pasukan musim ini.
"Barisan tengah dan
pertahanan pula sudah menampilkan keserasian dan saya menuntut semua pemain
untuk sentiasa berusaha mempamer peningkatan pada setiap masa," katanya.
Alberts menambah, beliau
menjangkakan anak-anak buahnya bakal menghadapi saingan lebih mencabar ketika
membuat penampilan sulung dalam kempen Liga Super musim ini.
"Tidak ada guna kalau
bermain cantik jika gagal mengutip sebarang mata. Sebagai jurulatih, saya
tuntut para pemain mengutip mata sebanyak mungkin pada awal musim.
"Apabila saingan memasuki
pertengahan musim, barulah saya mahu lihat keserasian serta corak permainan
mereka," tegasnya.
Sarawak dijadual menentang
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam aksi sulung Liga Super di Stadium Majlis
Perbandaran Selayang, Sabtu ini.
SUMBER : KOSMO ONLINE 13.1.14
No comments:
Post a Comment