JUARA Pencetus Ummah Hafiz (dua
dari kiri) bersama tiga lagi pendakwah generasi baharu yang diperkenalkan
menerusi Pencetus Ummah iaitu Shahrul (kiri sekali), Yeop (tiga dari kiri) dan
Rahmat (kanan sekali).
BUKAN mudah untuk berdakwah
apatah lagi menyebarluaskan agama Islam kepada masyarakat yang bukan Islam.
Ketika hayatnya, Rasulullah SAW pernah ditimpa pelbagai dugaan ketika
menyampaikan risalah Allah.
Namun, pada zaman yang moden
ini pelbagai pendekatan dan usaha baharu dilakukan oleh pelbagai pihak
bertujuan menyebarkan serta memantapkan ajaran Islam melalui teknik lebih
kontemporari.
Program realiti baharu terbitan
Astro Oasis yang diberi nama Pencetus Ummah telah membawa sesuatu kelainan
dalam aktiviti pendakwahan. Ia sekali gus mencetuskan satu fenomena baharu
dalam industri penyiaran tanah air.
Pengurus Saluran Astro Oasis,
Namanzee Harris menjelaskan, selama tujuh minggu program realiti Pencetus Ummah
disiarkan, pihaknya meraih peningkatan jumlah penonton saban minggu. Komen
positif di laman-laman sosial seperti Facebook mengukuhkan lagi sokongan
daripada peminat.
Setelah tujuh minggu para
finalis Pencetus Ummah berdepan pelbagai tugasan menguji kreativiti dalam
penyampaian tazkirah dan kepakaran dalam sesi soal jawab, mereka telah diraikan
dengan sambutan yang mengujakan baru-baru ini.
Kemenangan Muhammad Hafiz Mohd.
Haneefa, 32, sebagai juara musim pertama Pencetus Ummah mendapat impak luar
biasa daripada seluruh penonton. Dewan Konvensyen di Kolej Universiti Islam
Antarabangsa Selangor, Bangi pada Khamis lalu bergema dengan luahan kesyukuran
berikutan lahirnya seorang lagi pendakwah muda yang diangkat menjadi selebriti
agama.
Menyampaikan tazkirah bertajuk
Pendakwah: Untung Dunia, Untung Akhirat untuk pusingan pertama dan tema Cintai
Rasulullah bertajuk Kehidupan Rasulullah SAW sehingga kewafatan pada pusingan
kedua, ternyata memberi kelebihan kepada Hafiz untuk menyentuh hati juri dan
meraih dominasi undian khidmat pesanan ringkas (SMS).
Mengulas lanjut mengenai
kemenangannya, Hafiz memanjatkan rasa syukur terhadap Allah SWT atas kemenangan
yang dikecapi. Segalanya telah dirancang oleh Ilahi dan dia hanya berusaha
dengan sebaik mungkin.
"Alhamdulillah, kemenangan
ini begitu berharga. Setiap yang berlaku itu telah dirancang oleh Allah cuma
kita hanya mampu berusaha berikan yang terbaik.
"Mudah-mudahan dakwah yang
diberikan akan sampai ke hati masyarakat. Saya ingin berterima kasih kepada ibu
bapa dan isteri saya yang banyak memberikan sokongan.
"Isteri jugalah menjadi
orang penting yang mendorong saya untuk menyertai Pencetus Ummah. Ini episod
permulaan untuk saya berjuang atas nama dakwah," ujar Hafiz yang juga
seorang pengetua sebuah sekolah tahfiz di Selangor itu.
Juara Pencetus Ummah musim
pertama membawa pulang sebuah kereta Prius C, wang tunai RM50,000, pakej umrah
untuk dua orang, pakej percutian halal ke China dan sebuah trofi sumbangan
Astro.
Sementara itu, tempat kedua
dimenangi oleh Pengetua Maahad Darul Tahzib, Shahrul Hamid MPH Seeni Md., 38,
yang pulang dengan hadiah wang tunai RM30,000. Tempat ketiga dan keempat pula masing-masing
berpihak kepada Penolong Pegawai Agama, Jabatan Agama Islam Perak, Mohd.
Zainudin Mohamed Zaini, 32, dan pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia, Rahmat
Ikhsan Mohd. Sofyan, 20. Mereka membawa pulang wang tunai bernilai RM10,000.
"Kesemua finalis Pencetus
Ummah akan bergerak sebagai satu komuniti supaya setiap kali mendapat undangan,
kami akan lakukan bersama agar dakwah yang diberikan lebih dekat.
"Secara automatik saya
akan terikat dengan Astro namun sebagai pengetua sekolah tahfiz, saya tetap
akan menjalankan tanggungjawab saya. Begitu juga dengan komitmen saya sebagai
Timbalan Pengerusi Badan Bukan Kerajaan (NGO) Tahfiz Selangor. Kami berhasrat
untuk membangunkan fasiliti dan mengembangkan keyakinan masyarakat terhadap 150
buah sekolah tahfiz yang ada di Selangor ini," ujar Hafiz.
SUMBER : KOSMO ONLINE 12.1.14
No comments:
Post a Comment