Ad

Monday 20 January 2014

Fatehah raih pingat sulung

 

Fatehah Mustapa melakar sejarah merangkul pingat perak acara keirin Siri Piala Dunia Klasik di Guadalajara, Mexico semalam.
KUALA LUMPUR - Selama ini dia cemburu melihat pelumba lain seperti Azizulhasni Awang dan Josiah Ng menaiki podium di Siri Piala Dunia Klasik, tetapi semalam Fatehah Mustapa berjaya menamatkan penantian selama tujuh tahun dengan memenangi pingat perak dalam acara keirin wanita di Guadalajara, Mexico.

Sejak mula menyertai kejohanan itu di Sydney pada 2007, Fatehah belum merasai nikmat dikalungkan pingat di kejohanan berbasikal trek kedua terbesar itu, selepas Kejohanan Trek Dunia, tetapi semalam dia berjaya menggapai impian tersebut seterusnya berada di landasan terbaik untuk terus menyerlah tahun ini.

Dalam perlumbaan akhir, Fatehah tewas dengan kehebatan pelumba Hong Kong, Lee Wai Sze yang juga pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik London 2012. Di tempat ketiga ialah pelumba Perancis, Sandie Clair.

Menurut Fatehah, sebelum perlumbaan akhir di Velodrom Panamerican, dia berasa sedikit takut kerana kebanyakan pelumba yang beraksi hebat-hebat belaka, termasuk Ekaterina Gnidenko  dari Rusia dan pelumba tuan rumah, Daniela Gaxiola.

“Seperti tidak percaya akhirnya saya berjaya melintasi garisan penamat di tempat kedua. Kali ini memang rezeki saya, kali terakhir saya beraksi di pusingan akhir keirin dalam kejohanan ini adalah pada Disember tahun lalu di Aguascalientes, Mexico tetapi menduduki tempat keempat," katanya kepada Utusan Malaysia melalui laman sosial, Facebook.

Kata pelumba kelahiran Hulu Terengganu itu, dia begitu gembira dan berpuas hati dengan pingat sulung yang diraih dan mengucapkan terima kasih kepada ketua jurulatih, John Beasley yang telah bekerja keras untuk kemajuan prestasinya.

“Semua kerja dia (Beasley) buat, dialah jurulatih, pengurus pasukan dan juga mekanik. Pingat ini adalah hadiah untuknya kerana bersusah payah menjaga kami bertiga (termasuk Azizulhasni Awang dan Josiah Ng).

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Sime Darby dan Majlis Sukan Negara (MSN) kerana banyak bantu serta menyokong pelumba pecut yang berpangkalan di Melbourne," kata pelumba berusia 25 tahun itu.

Fatehah juga memberitahu sebaik sahaja melintasi garisan penamat dia terharu melihat muka Beasley yang senyum tanda puas melihat anak didiknya itu berjaya meraih pingat sulung dalam kejohanan tersebut.

“Saya perlu berterima kasih kepada pasukan Institut Sukan Negara (ISN) kerana mereka banyak membantu kami ketika latihan dan perlumbaan," katanya yang kali pertama berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir acara tersebut pada November lalu dalam Siri Piala Dunia Klasik I di Manchester.

Ditanya adakah dia akan membalas dendam kekalahan kepada Wai Sze pada Trek Dunia di Cali bulan depan, Fatehah berkata, memang sejak Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) New Delhi 2013 lagi dia mahu menewaskan pelumba tersebut tetapi belum berpeluang.

sumber Rujukan : http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140121/su_03/Fatehah-raih-pingat-sulung#ixzz2qyf9rmbK © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment