Ad

Monday 13 January 2014

'Jangan hampakan rakyat Sabah'

'Jangan hampakan rakyat Sabah'
 Oleh MUSTAPA LAKAWA
mustapa.lakawa@kosmo.com.my
 
BARISAN pemain dan pegawai skuad Sabah bergambar kenangan dengan Musa Aman (berdiri tujuh dari kanan) selepas majlis memperkenalkan pemain di Kota Kinabalu, semalam.

DI sebalik segala persiapan yang dilakukan, ada 'hutang' yang perlu dilangsaikan para pemain Sabah pada aksi Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Bukan semata-mata untuk mempamerkan permainan terbaik, namun tanggungjawab lebih besar perlu dipikul skuad kendalian Seslija Milomir itu untuk membayar segala kesetiaan yang ditunjukkan rakyat Sabah terhadap pasukan negeri di bawah bayu itu.

Malah, Ketua Menteri yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Seri Musa Aman turut mencabar skuad Sabahawks dengan menuntut semua pemain agar berjuang habisan-habisan sepanjang musim ini.

"Kita pernah menjadi antara pasukan elit dalam bola sepak negara dan tiada alasan untuk kita gagal melakukannya sekali lagi.

"Pihak persatuan dan penaja telah bersungguh-sungguh mencari dana dan begitu juga para penyokong yang tidak pernah jemu menyokong pasukan ini.

"Kini tibalah masanya untuk para pemain membalas jasa mereka dan lebih penting lagi, jangan kecewakan seluruh rakyat Sabah," katanya pada majlis pengenalan pemain dan pelancaran jersi pasukan Liga Premier, Piala Presiden dan Liga FAM Sabah di Kota Kinabalu semalam.

Enggan terlalu memberi tekanan, Musa sebaliknya memberi tips kepada para pemain mengenai resepi kejayaan dalam sukan.

"Saya percaya semua pemain yang ada dalam pasukan ini merupakan pemain berbakat dan berkemahiran. Namun, satu perkara paling penting yang menentukan kejayaan pasukan adalah disiplin.

"Elakkan pengambilan dadah dan jangan sesekali terlibat dalam aktiviti mengatur perlawanan. Sebagai pemain profesional, jagalah kerjaya anda," ujarnya.

Bagi kempen Liga Premier musim ini, Sabah berjaya mendapatkan tajaan jersi daripada Ararat, iaitu syarikat pakaian sukan terkemuka di negeri berkenaan.

Dalam pada itu, antara pemain yang membarisi pasukan Sabah termasuklah penyerang sensasi Harimau Muda, Rozaimi Abdul Rahman, bekas pemain kebangsaan, Zainizam Marjan dan bekas pemain Harimau Muda B, Maxsius Musa.

"Sasaran kita adalah untuk memenangi sebanyak mungkin perlawanan dan memastikan Sabah kembali beraksi dalam kempen Liga Super musim depan," tambah Musa.

SUMBER : KOSMO ONLINE 14.1.14

1 comment:

  1. Bersatulah :-)


    https://play.google.com/store/apps/developer?id=Kastari+Sentra+Media.+PT

    ReplyDelete