Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
Tengku Abdul Rahman Sultan
Ahmad Shah (tengah) bergambar bersama pemain-pemain Tok Gajah pada majlis
pelancaran jersi Pahang bagi musim 2014 di Kuala Lumpur, semalam.
PETALING JAYA - Seperti satu
langkah berjaga-jaga, Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) hanya
memberikan kontrak selama tiga bulan kepada jurulatih baharu Ronald Smith iaitu
sehingga penghujung bulan Mac ini.
Presiden PBNP, Tengku Abdul
Rahman Sultan Ahmad Shah berkata, penawaran kontrak singkat itu bukan bermakna
beliau tidak yakin sepenuhnya dengan keupayaan bekas penasihat teknikal pasukan
kebangsaan Australia dan Malaysia (1999-2002) itu sebaliknya mahu melihat
sejauh mana prestasi Pahang sebelum mendapat gambaran secara menyeluruh.
"Langkah ini sebenarnya
menguntungkan kedua-dua pihak, jika beliau cemerlang dalam tugasannya, kita
tiada sebarang masalah untuk meneruskan khidmatnya bersama Pahang dan dia juga
boleh menerima syarat yang ditetapkan.
"Kita bukannya tidak yakin
dengan keupayaan beliau namun tiga bulan ini boleh dianggap sebagai tempoh
penilaian sebelum kami membuat sebarang keputusan untuk menyambung kontraknya.
"Bagi saya ini bukan satu
isu yang besar, kontrak tiga bulan ini hanya satu klausa dalam kontrak, mungkin
selepas ini kami akan lanjutkan kontrak Ronald untuk tempoh yang lama,"
katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran jersi pasukan Pahang di sini,
semalam.
Pada musim ini, juara Piala
Malaysia musim lalu itu ditaja oleh jenama pakaian sukan terkemuka PUMA selama
tiga tahun dengan kontrak bernilai RM1 juta.
Apa yang dilakukan oleh PBNP
dilihat sebagai satu pendekatan bijak selepas melihat kejadian yang berlaku
kepada beberapa pasukan musim lalu yang terpaksa membayar sejumlah gaji kepada
jurulatih biarpun berada dalam status 'direhatkan' selepas gagal memberikan
prestasi yang diharapkan.
Dikenali antara nama yang besar
dalam bola sepak Australia kerana pernah melahirkan ramai bintang Socceroos
semasa di Institut Sukan Australia, Ronald baru sahaja bersama skuad Tok Gajah
menyertai perlawanan persahabatan menentang kelab-kelab dalam Liga Hong Kong
dan beliau mengakui masih banyak lagi yang tidak diketahui mengenai pasukannya
menjelang sepak mula menentang LionsXII, Jumaat ini dalam perlawanan sumbangsih
bagi merebut Piala Sultan Ahmad Shah.
"Buat masa ini saya belum
lagi mengenal pasti secara keseluruhan kekuatan dan kelemahan pasukan ini
kerana baru bersama pasukan ini, cuma sebagai juara Piala Malaysia sudah tentu
tekanan daripada pelbagai pihak pasti akan datang dan ini adalah normal sebagai
seorang jurulatih.
"Ramai bertanyakan
mengenai bagaimana peluang pasukan ini selepas ketiadaan Amirulhadi (Zainal)
tetapi berdasarkan apa yang saya lihat dalam latihan, masih ada pemain lain
yang mampu menggalas peranan di bahagian tengah, malah saya mempunyai banyak
pilihan di barisan serangan dan pertahanan," kata jurulatih dari England
itu.
Sementara itu, Tengku Abdul
Rahman mengesahkan PBNP telah menghantar surat rayuan mengenai keputusan
Jawatankuasa Status Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terhadap kedudukan
Amirulhadi.
"Kami sedang menunggu
jawapan terhadap rayuan itu, dan kami akan akur dengan apa sahaja keputusan
yang akan dibuat oleh FAM.
"Kita harus akui kerugian
satu slot kerana kontrak pemain (Amirulhadi) dikatakan tidak sah dan dia
bersama pasukan lain, cuma apa yang terjadi ini tidak mematahkan semangat kita
kerana Pahang bukannya satu pasukan yang bergantung kepada seorang pemain
semata-mata," katanya.
Pada 27 Disember lalu,
Jawatankuasa Status FAM yang dipengerusikan Datuk Takiyuddin Hassan,
mengesahkan Amirulhadi menandatangani kontrak yang sah dengan Persatuan Bola
Sepak Negeri Johor (PBNJ) untuk mewakili Johor Darul Ta'zim tetapi didenda
RM25,000 kerana melanggar Peraturan Status dan Perpindahan Pemain FAM.
SUMBER:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140114/su_03/Kontrak-Ronald-hanya-tiga-bulan#ixzz2qKC5483p
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment