Ad

Monday 13 January 2014

'The Bos Gaurus' yakin gegar liga

 Oleh SAYED HESHAM IDRIS
sukan@utusan.com.my
Hardi Jaafar mengetuai bacaan ikrar pada majlis pelancaran logo dan pasukan Liga Super Perak di Stadium Perak, Ipoh semalam.
IPOH - Meskipun tidak memiliki pemain bertaraf bintang, Perak yakin mampu menjadi antara pasukan yang disegani dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Kecuali Hardi Jaafar yang agak dikenali, lain-lain nama dalam pasukan itu masih asing bagi peminat selepas Perak kehilangan pemain bertaraf bintang seperti penjaga gol Farizal Marlias, Abdul Hadi Yahya, Shahrulnizam Mustafa dan S. Chanturu yang menyertai pasukan lain musim ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir turut yakin walaupun tidak memiliki nama besar, Perak mampu mencipta kejutan.

Menurutnya, skuad Perak kali ini berwajah baharu kerana ia dibentuk berasaskan pemain kelahiran negeri sendiri yang dikenalpasti di kampung-kampung dan di setiap daerah.

"Saya harap Perak akan cemerlang dalam saingan Liga Super musim ini. Pasukan ini dibina daripada anak-anak jati Perak yang berbakat, malah jurulatihnya, Abu Bakar Fadzim merupakan bekas pemain Perak.

"Saya berharap dengan semangat dan kesungguhan pemain, Perak akan kembali melakar kecemerlangan dalam saingan bola sepak tempatan," katanya.

Zambry berkata demikian selepas melancarkan logo baru skuad Perak, 'The Bos Gaurus' iaitu nama saintifik bagi seladang, juga slogan baharu 'Kejor Yeop Score' menggantikan 'Kejor Yeop Kejor' di Stadium Perak, di sini semalam.

Pengenalan logo dan nama baru itu yang diilhamkan sendiri oleh beliau yang diharapkan dapat menyuntik semangat juang pemain Perak dalam mengharungi cabaran musim 2014.

Tambah Zambry, semangat sepasukan, disiplin dan stamina adalah ciri-ciri utama yang akan menentukan kejayaan sesebuah pasukan.

Menurutnya, tanpa ciri-ciri berkenaan, pemain yang menerima gaji yang tinggi sekali pun tidak akan berjaya.

"Skuad Perak dibina atas ketiga-tiga ciri ini. Saya sendiri melihat keazaman dan stamina yang ada pada pemain sewaktu bermain bersama-sama mereka ketika sesi latihan," ujar beliau.

Skuad Perak musim ini dibarisi Muhd. Nor Haziq Mohd. Aris (penjaga gol), Mohd. Haizal Faquan Sadarudin, M. Yoganatahn, Mohd. Nasir Basharudin, Muhd. Syamil Khairi, Mohd. Syazwan Mohd. Roslan, dan Mohd. Shahrizal Mohd. Saad.

Lilit lengan ketua pasukan milik Mohammad Hardi Jaafar. Lain-lain pemain termasuk Mohd. Ridzuan Azly Hussham, J. Partiban, Mohd. Tuah Iskandar Jamaluddin, Mohd. Nazri Mohd. Kamal, Mohd. Noor Hazrul Mohd. Mustapa, Mohd. Hidayat Amarudin, Razi Efendi Suhit, Mohamad Hisyamudin Mohamed Sha'ari, Mohd. Azmeer Yusof dan Mohd. Khairi Kiman.

Perak diperkuatkan dengan empat pemain import iaitu kapten skuad Bawah 23 Tahun Myanmar, Kyaw Zayar Win selain turut menyambar pemain Burkina Faso, Martin Kafando; pemain Bosnia, Zelemir Terkes dan pemain Brazil, Eliel da Cruz Guardiano.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140113/su_02/The-Bos-Gaurus-yakin-gegar-liga#ixzz2qKAgLWWk © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment