Ad

Monday 13 January 2014

Zulfadli intai peluang jumpa Chen Long

 
Zulfadli Zulkifli
KUALA LUMPUR - Juara remaja dunia 2011, Zulfadli Zulkifli mahu memasang misi untuk memberi aksi terbaik pada pusingan kelayakan Siri Super Premier Terbuka Malaysia 2014 seterusnya mara ke undian utama kejohanan yang membuka tirai hari ini.

Bapanya yang merangkap jurulatih, Zulkifli Sidek berkata, setakat ini dia hanya meletakkan sasaran awal agar Zulfadli menumpaskan pemain Singapura, Derek Wong yang akan ditentang dalam pusingan kelayakan hari ini di Stadium Putra, Bukit Jalil.

"Jika berjaya mengalahkan Derek dia bakal berdepan satu lagi tugas sukar, mungkin bertemu pemain Korea Selatan, Lee Dong Keun tetapi saya berharap dia mampu melayakkan diri ke undian utama tanpa sebarang kecederaan dan dijadualkan bertemu pemain pilihan kedua dari China, Chen Long," katanya semalam.

Jelasnya, Zulfadli memang berdepan tugas getir apabila beraksi dua perlawanan dalam tempoh sehari tetapi jika mencatat kemenangan ia satu prestasi yang boleh dibanggakan.

"Chen Long sudah tentu merupakan lawan yang sukar tetapi saya harap dia dapat mencuba sebaik mungkin. Saya harap jika dia jumpa Chen Long dia mampu mengutip mata sebanyak mungkin, di situ dia sudah boleh meraih pengalaman," kata Zulkifli.

Zulfadli pernah menumpaskan Derek dalam perlawanan Siri Super Terbuka Singapura 2013 pada pusingan kelayakan dan ini adalah aksi keduanya di Siri Super Premier selepas beraksi di Denmark dua tahun lalu.

Dalam masa yang sama Zulkifli sudah merancang beberapa kejohanan besar selain Terbuka Malaysia untuk diharungi Zulfadli tahun ini, antaranya Siri Super Terbuka Singapura, Denmark, Perancis dan Indonesia.

"Dia juga akan beraksi dalam beberapa kejohanan Grand Prix Emas dan Cabaran Antarabangsa Austria kerana dia ditaja oleh syarikat dari negara tersebut iaitu Red Bull," katanya.

Tambahnya, dia meletakkan sasaran supaya Zulfadli sekurang-kurangnya mara ke peringkat suku atau separuh akhir GP Emas dan melayakkan diri ke undian utama untuk Siri Super pada aksi tahun ini.

SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140114/su_07/Zulfadli-intai-peluang-jumpa-Chen-Long#ixzz2qK9YB2Y4 © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment