Ad

Monday 13 January 2014

Pahang sasar pertahan Piala Malaysia

 PETALING JAYA, 13 Jan. - Pahang menyasarkan untuk mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia selain merampas kembali Piala Liga Super yang dimenangi pada 2004 pada saingan Liga Malaysia 2014.

Presiden Persatuan Bola Sepak Pahang (Pahang FA), Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah berkata, sasaran berkenaan mampu dicapai berdasarkan kehadiran beberapa pemain muda berbakat selain dua pemain import baharu - Zeshan Rehman dari Pakistan dan bekas penyerang Kelantan, Dickson Nwakaeme dari Nigeria.

Tengku Abdul Rahman berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan kelengkapan rasmi jenama Puma serta pengenalan pemain pasukan berkenaan, di sini, hari ini.

Menerusi perjanjian berkenaan yang bernilai hampir RM1 juta setahun, Puma akan membekalkan kelengkapan pakaian untuk skuad Pahang selama tiga tahun.

Tengku Abdul Rahman, yang juga Tengku Muda Pahang, berkata keadaan cuaca yang tidak menentu di Pantai Timur ketika ini, sedikit sebanyak menjejaskan persiapan pasukan berkenaan bagi menghadapi musim baharu ini.

Beliau berkata Pahang FA dijangka melancarkan laman web rasmi rasmi pasukan dalam tempoh terdekat yang memaparkan pelbagai maklumat mengenai aktiviti pemain skuad Tok Gajah.

Sementara itu, jurulatih baharu Ronald Smith yakin anak buahnya mampu mencapai sasaran tersebut walaupun dengan ketiadaan pemain tengah, Amirulhadi Zainal yang menyertai skuad Johor Darul Takzim (JDT).

Smith merupakan jurulatih warga Australia berusia 64 tahun dan pernah menjadi jurulatih Sabah pada 1995 dan Johor FC pada 1998 sebelum menjadi Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dari 1999 hingga 2002.

Dalam pada itu, dua pemain skuad Tok Gajah, penyerang, Azamuddin Mohd. Akil dan perancang tengah, Azidan Sarudin melaungkan keyakinan pasukan berkenaan mampu mencapai kejayaan yang lebih baik pada musim ini.

Azamuddin, 28 berkata, Amirulhadi tidak memberi kesan kepada pasukan berkenaan kerana mereka turut memiliki beberapa pemain berkaliber seperti Mohd. Saifulnizam Miswan dan Mohd Hafiz Kamal.

Azidan, 27, pula menyimpan hasrat untuk membantu pasukan Pahang menduduki empat pasukan teratas dalam saingan Liga Super selain mengekalkan kejuaraan Piala Malaysia.

"Saingan pada musim ini agak sengit dengan beberapa pasukan turut dibarisi pemain ternama, namun saya harap dapat membantu Pahang meraih lebih banyak kejuaraan musim ini," kata anak jati Kuala Lumpur itu yang sudah dua musim bersama Pahang.

Senarai pemain Pahang musim 2014: Mohd Khairul Azhan Mohd Khalid, Mohd Nasril Mat Nourdin, Jalaluddin Jaafar, Mohd Saifulnizam Miswan, Damion Delano Stewart, Zeshan Rehman, R. Surendren, Azidan Sarudin. Matias Ruben Conti, Dickson Nwakaeme, Mohd Faizol Hussain, Azamuddin Mohd Akil, Mohd Razman Roslan, Mohd Faizal Mohd Rosli, Abdul Malik Mat Ariff, Mohd. Hazri Rozali. Mohd Zaiza Zainal Abidin, Muhammad Syawal Norsam, Mohd Fauzi Rozlan, Mohd Shahrizan Mohd Salleh, Mohd Hafiz Kamal, Muhammad Saufi Mohd, R. Gopinathan, Mohd Shafie Zahari. - BERNAMA

SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140113/su_11/Pahang-sasar-pertahan-Piala-Malaysia#ixzz2qK8BmW33 © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment