Ad

Monday 13 January 2014

Selesa dilabel 'underdog'

 KUALA LUMPUR - Dua musim lalu, gelaran 'Manchester City Malaysia' cukup sinonim dengan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) apabila menjadi antara pasukan sulung mengorak langkah menarik ramai pemain bintang berkhidmat untuk mereka.

Langkah itu berjaya apabila mereka muncul juara Liga Perdana pada 2012.

Bagaimanapun penjenamaan semula pasukan Johor FC yang menjadi Johor Darul Takzim (JDT) pada musim lalu serba sedikit menenggelamkan cabaran ATM dan mereka turut kehilangan beberapa pemain yang menjadi kekuatan skuad The Gladiators itu.

Musim ini cabaran ATM dilihat semakin lemah apabila kehilangan Farizal Harun dan Shukor Adan yang berhijrah ke Felda United, menyebabkan The Gladiators terpaksa terus berpaut dengan muka-muka lama seperti Hairuddin Omar, Rezal Zambery Yahya, Marlon Alex James dan Amirizdwan Taj Tajudin.

Skuad dibimbing oleh S. Sathianathan itu juga masih menggunakan khidmat bekas pemain kebangsaan, Irwan Fadzli Idrus yang terus setia bersama ATM buat musim ketiga berturut-turut dan pengalamannya selama 14 tahun dalam kancah bola sepak tempatan pasti akan terus ditagih oleh bekas jurulatih kebangsaan itu.

Sudah berusia 32 tahun, pemain yang berasal dari Kedah ini berasakan ATM lebih selesa dilabelkan sebagai underdog kerana perhatian lebih diberikan kepada pasukan lain terutama JDT, dan dia menganggap situasi itu sebagai sesuatu yang baik menjelang sepak mula Liga Malaysia 2014.

"Rasanya status underdog lebih sesuai dengan ATM pada musim ini jika dilihat kekuatan yang ada pada pasukan-pasukan lain namun bagi saya itu memberikan satu hikmah sebenarnya.

"Kurangnya perhatian kepada kami bermakna tidak akan memberikan beban berlebihan kepada setiap pemain. Bagi saya tekanan sebenarnya tidak bagus kepada sesebuah pasukan," katanya.

SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140114/su_06/Selesa-dilabel-underdog#ixzz2qK7Vt2HE © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment