Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my
Lee Chong Wei
KUALA LUMPUR - Kekalahan Datuk
Lee Chong Wei buat kali keempat berturut-turut kepada Chen Long di perlawanan
akhir Siri Super Terbuka Korea kelmarin tidak merisaukan jurulatihnya, Tey Seu
Bock.
Sebaliknya beliau yakin, pemain
nombor satu dunia itu mampu mempertahankan gelaran Siri Super Premier Terbuka
Malaysia yang membuka tirai hari ini.
Kelmarin, Chong Wei mengakui,
Chen Long semakin liat untuk ditumbangkan dan hampir menyamai prestasi Lin Dan
setelah kalah kepada pemain sensasi China itu straight set 14-21, 15-21 di
Seoul seterusnya memadamkan impiannya untuk meraih gelaran sulung 2014.
Menurut Seu Bock, beliau
menonton perlawanan itu dan akan berbincang dengan Chong Wei sebaik pemain
tersebut kembali ke Malaysia.
"Kita akan menganalisis
semula prestasinya dan saya yakin dia masih mempunyai peluang untuk merangkul
gelaran Terbuka Malaysia buat kali ketujuh berturut-turut dan kesepuluh dalam
kariernya," katanya di Stadium Putra, Bukit Jalil semalam.
Selain berjaya mempertahankan
kejuaraan sejak 2008 hingga tahun lalu, Chong Wei juga pernah meraih gelaran
ini pada 2004, 2005 dan 2006.
Seu Bock berkata, penganjuran
Siri Super Premier buat kali pertama di Terbuka Malaysia bakal menyaksikan
kehadiran pemain terbaik dunia, namun ia bukan halangan buat Chong Wei
mengekalkan gelaran terutama beraksi di hadapan peminat tempatan.
"Dia mempunyai kelebihan
kerana beraksi di gelanggang sendiri, memang kalau dilihat daripada undian yang
dilakukan bukan mudah untuknya merangkul kejuaraan tetapi juga bukan alasan
buat Chong Wei untuk tidak mempamerkan aksi terbaik.
"Selain Chong Wei, pemain
negara yang lain perlu merebut peluang dan buktikan bahawa mereka mampu
menggalas cabaran negara. Mereka perlu mempamer tahap permainan terbaik serta
menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa mereka pemain yang tidak
bagus," katanya.
Chong Wei akan bertemu pemain
Denmark, Hans-Kristian Vittinghus pada pusingan pertama, manakala lawannya di
pusingan kedua mungkin pemain China, Wang Zhengming . Seorang lagi pemain
China, Du Pengyu berkemungkinan akan menjadi halangannya di peringkat suku
akhir.
Melihat carta undian, Chong Wei
dijangka bertemu pemain Denmark, Jan O Jorgensen atau pemain Thailand, Boonsak
Ponsana di peringkat separuh akhir
sumber:http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140114/su_02/Chong-Wei-mampu-bangkit#ixzz2qK6MdIDZ
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment