Ad

Monday, 13 January 2014

'Jangan buat saya pening'

'Jangan buat saya pening'
 Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my
 
PRESTASI tidak konsisten Chong Wei Feng meresahkan Rashid Sidek pada ketika Piala Thomas tinggal kurang lima bulan sebelum berlangsung di New Delhi, 18-25 Mei ini.
KUALA LUMPUR - Kecuali jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei, prestasi perseorangan negara yang lain mencetus kebimbangan ketua jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek ketika kejohanan badminton berprestij, Piala Thomas tinggal kurang lima bulan untuk berlangsung di New Delhi, India, Mei ini.

Baik Chong Wei Feng mahu pun Liew Daren, masing-masing belum menunjukkan aksi yang meyakinkan untuk menggalas cabaran Malaysia pada kejohanan itu, namun dalam masa yang sama angkatan pemain yang lebih muda seperti Iskandar Zulkarnain Zainuddin, Soo Teck Zhi, Misbun Ramdan Misbun, Mohd. Arif Abd. Latif, Zulfadli Zulkifli serta Iskandar Zulkarnain Zainuddin juga tidak cukup bagus untuk mencabar senior mereka.

Pemain-pemain muda lain seperti Goh Soon Huat, Nur Mohd. Azriyn Ayub, Goh Giap Chin serta Loh Wei Sheng juga tidak meyakinkan dan terlalu jauh daripada pemain utama.

Justeru, tidak hairanlah jika Rashid dan barisan jurulatih negara pening kepala memikirkan bagaimana hendak membentuk skuad mantap dalam tempoh empat bulan ini pada ketika pilihan pemain yang dimiliki sendiri tidak cukup bagus.

Mengakui, situasi sekarang tidak banyak beza dengan keadaan ketika Malaysia menghadapi Piala Thomas 2012, Rashid menggesa pemain-pemain muda negara agak mula meningkatkan prestasi, terutama mereka yang bakal beraksi pada kejohanan Siri Super Premier Terbuka Malaysia yang bermula hari ini.

"Semua pemain hanya ada beberapa bulan saja untuk meningkatkan prestasi. Kita menghadapi tahun yang mencabar dengan Piala Thomas, Sukan Asia dan Sukan Komanwel menanti, jadi saya harap pemain-pemain muda ini dapat segera menonjolkan kemampuan," kata Rashid.

Selepas merangkul kejuaraan kebangsaan pertama, Wei Feng kembali meresahkan Rashid apabila tersingkir seawal pusingan pertama di Terbuka Korea minggu lalu selepas tewas kepada Vladimir Ivanov dari Rusia. Dia sebelum itu turut tersingkir awal di Sukan SEA Myanmar, Disember lalu.

Daren pula hanya akan membuat penampilan pertama esok sejak mengalami kecederaan pada Terbuka Denmark, Oktober lalu. Dia menutup 2012 dengan merangkul gelaran Siri Super Terbuka Perancis, namun masalah buku lali yang dialami tiga bulan lalu menyebabkan sukar buat Rashid menilai tahap permainan pemain itu ketika ini.

Jika Wei Feng dan Daren tidak mampu melakukan sesuatu pada Terbuka Malaysia, peluang terbuka buat Iskandar, Misbun Ramdan, Teck Zhi atau Arif untuk mengintai tempat dalam skuad Piala Thomas, namun dengan syarat mereka juga kena menunjukkan persembahan yang berwibawa. Malah, bekas pemain kebangsaan, Tan Chun Seang yang muncul naib juara kebangsaan juga perlu diberi perhatian.

Anak jurulatih legenda, Datuk Misbun Sidek, Misbun Ramdan antara yang harus diberi tumpuan. Biarpun tiada kejayaan besar dikecapi sejak dilatih bapanya, namun Ramdan mengutip banyak pengalaman antarabangsa dengan menjuarai beberapa kejohanan kecil di Eropah seperti Terbuka Ireland, Antarabangsa Slovenia, Antarabangsa Portugal dan Antarabangsa Hellas di Greece.

sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140114/su_01/Jangan-buat-saya-pening#ixzz2qK56ua4K © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment