Oleh AMRAN MULUP
utusanmelaka@utusan.com.my
Noor Jan Tuah (tengah) yang
mendakwa sebagai 'Sultan Melaka' ditahan oleh Raja Shahrom Raja Abdullah
(kanan) bersama pegawai dan anggota polis yang lain di Jeti Anjung Batu ketika
Noor Jan hendak ke Pulau Besar, Melaka, semalam.
MELAKA 14 Jan. - Seorang lelaki
yang mendakwa sebagai pewaris takhta Kesultanan Melaka, Noor Jan Tuah, 56, atau
lebih dikenali sebagai Raja Noor Jan Shah ditahan sepasukan polis di Jeti
Anjung Batu, Serkam dekat sini hari ini.
Noor Jan ditahan kira-kira
pukul 10.50 pagi ketika sedang ditemu bual wartawan daripada Utusan Malaysia,
Kosmo dan Harian Metro di jeti tersebut.
Lelaki itu berada di jeti
berkenaan bersama-sama lebih 30 pengikutnya untuk menaiki feri menuju ke Pulau
Besar bagi menghadiri majlis jamuan kesyukuran sempena sambutan Maulidur Rasul.
Sebaik sahaja ditahan, Noor Jan
dibawa menaiki van ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah
negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, Noor Jan ditahan
di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 untuk siasatan lanjut berhubung lapan
laporan polis yang dibuat oleh individu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di
negeri ini.
Menurutnya, lapan laporan polis
itu antara lain menyatakan rasa tidak puas hati dan kegusaran rakyat di negeri
ini berhubung tuntutan Noor Jan untuk mengiktiraf dirinya sebagai Sultan
Melaka.
''Situasi yang telah
digembar-gemburkan oleh Noor Jan membuat rakyat Melaka berasa curiga atas
kebenaran dakwaannya dan lelaki ini juga telah berjaya meraih sokongan daripada
masyarakat.
''Mereka mahu polis menjalankan
siasatan kerana tingkah laku Noor Jan melalui media sosial telah menghina
sistem kerajaan yang telah lama wujud di negeri ini. Lelaki ini juga tahu
kerajaan negeri tidak mengiktirafnya sebagai Sultan Melaka," katanya dalam
sidang akhbar di IPD Melaka Tengah di sini hari ini.
Mengulas lanjut Raja Shahrom
berkata, mengikut keterangan awal, Noor Jan berasal dari Kampung Teluk Perang,
Parit, Perak dan menetap di tiga tempat berasingan iaitu di Kampung Seri Kinta,
Perak; Batu Caves, Selangor dan Jalan Sungai Pusu, Gombak.
Selain itu katanya, lelaki
tersebut juga mempunyai lima nama lain iaitu Noor Jan Sah Tuah Shah, Raja Alang
Noor Jan Raja Tuah, Yang Maha Mulia (YMM) Raja Noor Jan Shah Ibni Yang Mulia
(YM) Raja Tuah Shah, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Paduka Seri Sultan Ahmad Shah
Ke-44 dan Pak Ungku.
Menurutnya, Noor Jan telah
memberikan kerjasama sewaktu ditahan polis dan beliau tidak memiliki sebarang
senjata melainkan dua buah telefon bimbit.
''Kita bawa beliau ke IPD
Melaka Tengah untuk tujuan siasatan menyeluruh termasuk dakwaan Noor Jan bahawa
Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengiktirafnya sebagai Sultan
Melaka," katanya.
Ditanya adakah isteri dan
penyokong lelaki itu akan ditahan polis, Raja Shahrom berkata, keadaan itu
bergantung kepada hasil siasatan yang akan dijalankan nanti.
Menurutnya, berdasarkan
maklumat awal, Noor Jan banyak melakukan aktiviti untuk menghasut dan meraih
sokongan rakyat di negeri ini agar menerimanya sebagai Sultan Melaka antaranya
majlis jamuan kesyukuran penyembelihan seekor kambing di Pulau Besar hari ini.
SUMBER:
http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140115/je_01/Noor-Jan-Sultan-Melaka-ditahan#ixzz2qQxQyUI6
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment