Ad

Saturday, 11 January 2014

Operasi buru PATI turut serbu premis perniagaan

 
Ahmad Zahid Hamidi (dua, kiri) beramah mesra dengan anggota Rela yang menerima Pingat Kedaulatan Negara pada sambutan Hari Rela ke-42 di Sungai Sumun, Bagan Datoh, Perak, semalam. - BERNAMA
BAGAN DATOH 11 Jan. - Operasi besar-besaran memburu pendatang asing tanpa izin (PATI) yang masih berada di negara ini sebaik sahaja Program Khas Pengurusan PATI (PKPP) tamat 20 Januari ini turut melibatkan serbuan di premis perniagaan yang terdapat pendatang asing menjalankan perniagaan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sasarannya adalah untuk menahan pendatang asing yang menjalankan perniagaan dengan menyewa lot perniagaan daripada rakyat tempatan.

"Tumpuan operasi memburu PATI kali ini bukan hanya di ladang atau kilang, tetapi melibatkan premis perniagaan di pusat-pusat bandar.

"Lot-lot di premis perniagaan ini adalah milik rakyat tempatan tetapi disewakan kepada pendatang asing. Pemeriksaan turut melibatkan pekerja asing dalam sektor pertanian iaitu di kebun-kebun sayur. Majikan sering mendakwa pekerja mereka mempunyai permit tetapi hasil siasatan mendapati sebaliknya.

"Kita akan menjalankan operasi memburu PATI di setiap tempat yang dijangka menjadi tumpuan mereka. Kita telah pun mempunyai maklumat yang lengkap di mana mereka berada," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan Hari Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) Ke-42 di Sungai Sumun dekat sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr. Wan Junaidi Tunku Jaafar; Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Mohamad Khalid Shariff dan Ketua Pengarah Rela, Datuk Mustafa Ibrahim.

Sambutan dihadiri kira-kira 7,000 anggota Rela dari seluruh negara.

Tambah Ahmad Zahid, operasi memburu PATI akan bermula pada awal pagi 21 Januari ini, bermakna PATI atau majikan mempunyai lapan hari sahaja lagi untuk mendaftar dan mendapatkan permit pekerjaan.

Menurutnya, operasi akan dilaksanakan sehingga 31 Disember dan PATI tidak akan terlepas, malahan sesiapa sahaja yang cuba melindungi pendatang asing akan didakwa.

"Operasi ini juga akan melibatkan anggota Rela di seluruh negara. Namun, ada tuduhan kononnya anggota Rela bekerjasama melindungi PATI dengan mengambil wang daripada mereka supaya tidak ditangkap.

"Ingin saya jelaskan bahawa Rela tiada kuasa untuk menangkap mana-mana PATI, tetapi anggota Rela akan bersama-sama dengan Jabatan Imigresen dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melakukan kepungan di premis-premis yang ada PATI dalam operasi yang akan kita laksanakan nanti," jelas Ahmad Zahid.

SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140112/je_03/Operasi-buru-PATI-turut-serbu-premis-perniagaan#ixzz2q8dC2JbT © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment