Ad

Saturday 11 January 2014

FAM belum perlukan Troussier

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my
 
Philippe Omar Troussier
SEPANG - Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyifatkan bola sepak Malaysia belum sampai ke tahap yang mewajarkannya untuk mengambil jurulatih bertaraf dunia seperti Philippe Omar Troussier bagi melatih skuad negara.

Katanya, lebih baik wang yang akan dibelanja oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menggajikan bekas jurulatih Jepun digunakan bagi tujuan pembangunan bola sepak peringkat akar umbi.

“FAM bebas untuk memilih atau menggaji sesiapa yang mereka hendak. Itu duit mereka (namun) saya rasa kita tidak sampai tahap untuk mewajarkan ada jurulatih seperti Troussier.

“Kalau kita dah sampai tahap yang mungkin boleh layak ke Sukan Olimpik atau Piala Dunia, keperluan bagi seorang jurulatih yang bertaraf dunia sebegitu (pasti) mendesak," katanya selepas membuat pelepasan Kejohanan Kapcai Tahan Lasak KBS-MAM di Litar F1 Sepang semalam.

Troussier mendahului senarai calon kerusi panas FAM bagi menggantikan Datuk K. Rajagobal di samping rakan senegara, Marcel Desailly, Alex Miller dari Scotland, Bobby Houghton (England) dan bekas jurulatih Pahang, Dollah Salleh.

Jurulatih dari Perancis itu paling diingati selepas membimbing Jepun layak dan kemudian mara hingga ke pusingan kedua Piala Dunia 2002 setelah dua tahun sebelumnya melatih mereka untuk menjuarai Piala Asia 2000.

Dia, yang digelar White Witch Doctor di Afrika kerana kejayaannya mengubah skuad Nigeria, Afrika Selatan dan Burkina Faso menjadi gergasi benua itu dikhabarkan akan menerima gaji mencecah RM416,000 sebulan jika FAM melantiknya sebagai jurulatih Harimau Malaya.

Khairy menegaskan: “Saya lebih suka tumpukan pembangunan daripada kita menawarkan pakej berjuta-juta ringgit bagi seorang jurulatih bertaraf dunia yang kesannya tidak sebesar mana (FAM meletakkan sasaran terutamanya untuk melepasi kelayakan Piala Asia 2015, Mac ini).

“Kumpulan bakat pemain sedia ada kita sebenarnya masih terhad daripada segi prestasi. Tidak banyak yang boleh dibuat oleh jurulatih bertaraf untuk melonjakkan (prestasi) pasukan kebangsaan," katanya, yang sebaliknya menyokong peruntukan kewangan disalurkan kepada pembangunan skuad Harimau Muda.

Jelasnya, soal melantik jurulatih bertaraf dunia hanya boleh difikirkan setelah pembangunan bola sepak yang dirancang rapi dengan kementerian berjaya menghasilkan kumpulan bakat baharu yang bukan sahaja boleh bersaing di peringkat Asia Tenggara bahkan di peringkat benua Asia.

Khairy menambah, kementeriannya, atas faktor pembangunan dan permintaan FAM, turut meluluskan pembiayaan sebahagian daripada RM4 juta sebagai kos penghantaran skuad Harimau Muda A bimbingan Datuk Ong Kim Swee untuk menyertai Liga Perdana Kebangsaan Queensland Australia pada Mac ini.

SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140112/su_01/FAM-belum-perlukan-Troussier#ixzz2q8kAjSMy © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment