HARAPAN peminat fanatik Pahang
supaya Amirulhadi Zainal kekal bersama pasukan kesayangan mereka tampak semakin
samar.
Biarpun Persatuan Bola Sepak
Negeri Pahang (PBNP) dikatakan telah mengemukakan rayuan berhubung perkara itu,
Amirulhadi, 27, dilihat hampir pasti menjadi milik Johor Darul Takzim (Johor
DT) musim ini.
Semalam, Pengerusi Jawatankuasa
Pertandingan Tempatan (JKPT) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri
Afandi Hamzah juga mengesahkan pemain itu tidak perlu menunggu sehingga jendela
perpindahan pemain dibuka semula Mac tahun depan untuk beraksi bersama Harimau
Selatan.
Ini kerana menurut beliau,
Amirulhadi telah didaftarkan sebagai pemain Johor DT sebelum tarikh pendaftaran
pemain ditutup pada 17 Disember lalu.
“Buat masa ini, Amirulhadi
kekal menjadi milik Johor DT.
“Namun jika berlaku sebarang
kes tak terjangka, besar kemungkinan ia akan disemak semula,” katanya kepada
pemberita semalam.
Jumaat lalu, mesyuarat
Jawatankuasa Status Pemain FAM yang dipengerusikan Datuk Takiyuddin Hassan
membenarkan Amirulhadi menyertai Johor DT selepas mendapati kontrak selama dua
tahun pemain itu bersama PBNP sebelum ini meragukan.
Namun, Amirulhadi tetap didenda
RM25,000 atas dua kesalahan iaitu tidak mendedahkan keadaan sebenar kepada
pasukan yang baharu ditandatangani (Johor DT) berhubung kontrak bersama pasukan
terdahulu (Pahang).
Dia juga didapati bersalah kerana
tidak membuat pengesahan dengan pasukan Pahang terlebih dahulu sebelum
menyertai Johor DT.
Dalam perkembangan lain, Afandi
menjelaskan pihaknya juga telah meluluskan permohonan Persatuan Bola Sepak
Negeri Johor (PBNJ) supaya pasukan Johor dikenali sebagai Johor DT II musim
ini.
“Kedua-duanya (Johor DT dan
Johor DT II) merupakan dua pasukan yang berbeza, jadi tiada masalah,” jelas
beliau.
SUMBER: KOSMO ONLINE 4.1.14
No comments:
Post a Comment