Ad

Saturday, 4 January 2014

Pelan Bola Sepak Nasional 2014-2020 ke Kabinet

 
Muhyiddin Yassin menyempurnakan Majlis Pelancaran Jelajah Trofi Keagungan Bola Sepak - Piala Dunia ke Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur, semalam. Turut sama, Khairy Jamaluddin (kanan), Gill McLareen (tiga dari kiri), Dwight Yorke (dua kiri) dan Subahan Kamal. - Mingguan/MOHD NOOR MAT AMIN
KUALA LUMPUR 4 Jan. - Pelan Pembangunan Bola Sepak Nasional 2014-2020 yang memberikan fokus terhadap aspek pembangunan sukan tersebut dan pembentukan pemain muda berbakat akan dikemukakan ke Kabinet untuk perbincangan dan kelulusan dalam masa terdekat.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau dimaklumkan, sebanyak dua bengkel telah dikendalikan pada bulan Disember lalu dalam menghasilkan pelan berkenaan.

"Pelan tersebut akan memberikan fokus pada aspek pembangunan bola sepak dan meletakkan sasaran untuk membentuk pemain daripada usia tujuh hingga 17 tahun.

"Pelan itu juga akan memberikan fokus terhadap pemupukan DNA bola sepak kita termasuk pembinaan karakter dan kekuatan mental pemain seawal usia muda," katanya ketika berucap menyempurnakan Majlis Pelancaran Jelajah Trofi Keagungan Bola Sepak - Piala Dunia ke Malaysia di sini hari ini.

Jelajah trofi Piala Dunia 2013/2014 akan mengunjungi 88 buah negara dalam tempoh 267 hari selepas berlepas dari Rio de Janeiro, Brazil pada 12 September lalu.

Yang turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin; Duta Brazil ke Malaysia, Maria Auxiliadora Figueiredo; Naib Presiden Kanan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Subahan Kamal dan Pengurus Besar Coca-Cola Malaysia, Singapura dan Brunei, Gill McLaren.

Turut serta, bekas pemain Manchester United, Dwight Yorke yang juga duta Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) dalam jelajah berkenaan di sini.

Sebelum ini, kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas dipengerusikan oleh Khairy bagi menggerakkan usaha untuk melancarkan pelan pembangunan berkenaan.

Muhyiddin berkata, sukan bola sepak mempunyai kemampuan menakjubkan untuk menyatupadukan rakyat negara ini selain memainkan peranan penting dalam pembangunan diri seseorang.

Beliau berkata, bola sepak dan sukan-sukan lain mempunyai kesan berganda dalam pembentukan dan penyatuan negara selain tidak mengenal warna kulit dan fahaman.

"Apabila kita bercakap atau menonton perlawanan bola sepak, semua penghalang lenyap apabila kita memberikan fokus terhadap kepentingan bersama.

"Perkara ini merupakan suatu yang perlu kita pupuk dan hargai memandangkan sukan bola sepak mempunyai nilai sosial yang besar yang dapat menyatukan masyarakat kita," kata beliau.

Muhyiddin turut berharap kehadiran trofi Piala Dunia FIFA di negara ini dapat memberikan inspirasi kecemerlangan dan memberikan motivasi agar lebih ramai rakyat Malaysia berusaha mencapai pencapaian lebih besar.

Beliau berkata, peluang untuk beraksi di dalam Piala Dunia FIFA merupakan impian setiap pemain bola sepak.

Sehubungan itu katanya, kehadiran trofi tersebut dalam program jelajah ke negara ini memberikan peluang bagi menyambung cita-cita bola sepak negara selain menghargai bahawa impian itu akan tercapai.

Atas sebab itu, beliau menggesa pemain muda yang berbakat dan pasukan Harimau Malaya agar menyematkan impian besar supaya Malaysia dapat menempatkan diri dalam kedudukan yang betul sebagai negara bola sepak yang hebat.

Katanya, bukan satu rahsia lagi, ramai peminat bola sepak di negara ini kecewa apabila Harimau Malaya mengalami kekalahan tanpa henti di pentas antarabangsa sehingga mereka beralih sokongan kepada pasukan antarabangsa untuk mendapatkan ketenangan.

"Jadi, mari kita bekerja bersama ke arah mencapai kejayaan lebih besar bagi membolehkan semua trofi kejohanan tidak menjadi harapan yang sepi.

"Saya yakin trofi-trofi tersebut dapat dimenangi oleh Malaysia dan dilakukan oleh rakyat Malaysia sendiri," katanya.

RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140105/dn_05/Pelan-Bola-Sepak-Nasional-2014-2020-ke-Kabinet#ixzz2pTfiFLpN © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment