Ad

Saturday, 4 January 2014

TMM2014 jana pendapatan RM76b

 Oleh HUSSAINI AMRAN
hussaini.amran@utusan.com.my
 
Sebahagian daripada pelancong asing yang hadir di Dataran Merdeka manakala seorang badut berkaki kayu mengibarkan Jalur Gemilang dalam perasmian Tahun Melawat Malaysia 2014.
KUALA LUMPUR 4 Jan. - Kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014 disasarkan menjana pendapatan sebanyak RM76 bilion menerusi kunjungan kira-kira 28 juta pelancong tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jumlah tersebut menunjukkan peningkatan ketara sebanyak RM11 bilion dari segi hasil pertukaran mata wang asing.

Beliau juga yakin TMM 2014 akan menjadi pemangkin kepada industri pelancongan negara dalam merealisasikan sasaran kerajaan untuk menerima kunjungan 36 juta pelancong dan menjana pendapatan sebanyak RM168 bilion pada 2020.

"Pai ekonomi yang lebih besar ini akan menyumbang kepada pendapatan yang lebih tinggi dan mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan serta pekerjaan," katanya ketika berucap merasmikan TMM 2014 di Dataran Merdeka malam ini.

TMM 2014 yang bertemakan Celebrating 1Malaysia Truly Asia bertujuan melonjakkan industri pelancongan negara di peringkat antarabangsa serta merupakan kali keempat dalam siri kempen itu, lanjutan daripada kejayaan tiga kempen terdahulu pada 1990, 1994 dan 2007.

Selain itu, kerajaan turut melancarkan kempen penggalakkan pelancongan domestik iaitu Cuti-Cuti 1Malaysia dengan tema Hayatilah 1Malaysiaku.

Beliau juga meminta rakyat menyedari tanggungjawab mereka untuk melayan setiap pelancong asing dengan penuh rasa hormat dan berbudi bahasa kerana sikap itu mencerminkan budaya serta tradisi masyarakat di negara ini.

"Di samping itu, keperibadian kita turut digambarkan menerusi kebersihan persekitaran kita. Sehubungan itu, destinasi-destinasi pelancongan dan kemudahan seperti tandas serta laluan pejalan kaki mestilah sentiasa bersih dan diselenggara dengan baik sepanjang masa," ujarnya.

Timbalan Perdana Menteri turut menyarankan rakyat Malaysia menjadi tuan rumah yang bersikap peramah dan bersedia membantu para pelancong dengan melakukan perkara-perkara mudah seperti mengucapkan 'Hello' dan 'Selamat Datang ke Malaysia' serta menawarkan diri untuk membantu mengangkat bagasi mereka.

Muhyiddin menjelaskan, secara umumnya, kejayaan TMM 2014 bergantung pada perkhidmatan, kemudahan dan layanan mesra daripada setiap rakyat.

Sementara itu Muhyiddin menyatakan rasa bangga dengan pengiktirafan antarabangsa terhadap sektor pelancongan di Malaysia yang menjadi bukti negara ini berada di landasan betul bagi mencapai matlamat menjadi destinasi pelancongan terbaik dunia.

Katanya, penerbitan panduan pelancongan global, Lonely Planet telah menyenaraikan Malaysia dalam kalangan 10 destinasi pelancongan terbaik bagi 2014.

"Selain itu, CNN Travel telah menamakan Kuala Lumpur sebagai bandar raya keempat terbaik untuk membeli-belah di dunia, selepas New York, Tokyo dan London serta mengiktiraf Pulau Perhentian Kecil, Pantai Juara dan Tanjung Rhu sebagai antara 50 pantai terbaik di dunia.

"Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) juga menyenaraikan lima lokasi di negara ini iaitu Bandar Raya Melaka, Georgetown di Pulau Pinang, Taman Negara Gunung Mulu di Sarawak, Taman Kinabalu di Sabah dan Lembah Lenggong di Perak sebagai Tapak Warisan Dunia," katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berpendapat, tema TMM 2014 iaitu Celebrating 1Malaysia Truly Asia adalah bertepatan dengan kepelbagaian budaya dan warisan di negara ini.

"Pelancong-pelancong asing pasti terpesona apabila menyaksikan masyarakat pelbagai etnik hidup dalam suasana harmoni dengan mengekalkan hubungan baik dan perpaduan," ujarnya.

SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140105/dn_01/TMM2014-jana-pendapatan-RM76b#ixzz2pTeHJsUS © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment