KUCHING - Pemain kebangsaan
yang banyak memanaskan bangku simpanan bersama pasukan masing-masing dalam
saingan Liga Super akan memberi kesan negatif kepada skuad kebangsaan.
Ketua jurulatih Sarawak, Robert
Alberts (gambar) berkata, tindakan segelintir pasukan Liga Super mengikat
sebahagian besar pemain kebangsaan tetapi hanya menurunkan mereka apabila perlu
akan hanya mengundang masalah.
"Membiarkan pemain
kebangsaan menjadi pemain simpanan sudah pastinya tidak bagus untuk pemain itu
sendiri dan memberi kesan kepada pasukan kebangsaan," kata jurulatih
berpengalaman dari Belanda itu.
Beliau berkata, pemain
kebangsaan yang mewakili pasukan masing-masing dalam Liga Super sepatutnya
kerap beraksi bagi mengekalkan prestasi serta tahap kecergasan.
"Mereka perlu berada di
tahap prestasi terbaik sepanjang masa untuk mewakili pasukan kebangsaan dan
sekiranya kerap menjadi pemain simpanan, maka sudah tentu prestasi mereka akan
terjejas," katanya.
Alberts berkata, sekiranya
senario seperti itu berterusan dalam saingan Liga Super maka siapa sahaja yang
bakal menjadi jurulatih skuad senior negara akan menghadapi masalah besar untuk
membentuk sebuah pasukan yang mantap.
Mengenai Liga Super yang
bermula minggu lepas, Alberts berpendapat mutunya lebih tinggi berikutan
kehadiran ramai pemain import.
"Menarik untuk melihat
beberapa pasukan berlumba-lumba membawa pemain berkaliber untuk menguatkan
pasukan masing-masing dan hanya pasukan yang konsisten mencatat kemenangan akan
muncul juara," katanya.
Beliau meramalkan enam pasukan
akan bersaing sengit untuk muncul juara Liga Super musim ini iaitu Johor Darul
Ta'zim (JDT), Kelantan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Selangor, LionsXII dan
Pahang.
Bagaimanapun, beliau tidak
menolak pasukan bimbingannya mampu memberi saingan sengit kepada enam pasukan
terbabit.
Alberts, yang membantu Sarawak
muncul juara Liga Perdana musim lepas berkata, mereka meletakkan sasaran untuk
muncul antara enam pasukan teratas dalam kempen Liga Super musim ini.
Walaupun tewas 2-0 kepada ATM
pada perlawanan pembukaan Sabtu lepas, jurulatih itu berkata saingan baru
sahaja bermula dan yakin pasukannya memiliki keupayaan meningkatkan prestasi
serta menjadi pasukan yang digeruni.
Sarawak bagaimanapun menebus
kekecewaan itu apabila menewaskan Pulau Pinang 2-1 dalam aksi Piala FA,
semalam. - BERNAMA
sumber:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140122/su_03/Pemain-kebangsaan-sekadar-jadi-pemanas-bangku-simpanan#ixzz2r4h5pnr3
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment