21 Januari 2014
Pukul anak tak solat, pasangan
dikenal pasti Pasangan warga Malaysia yang ditahan di Sweden atas dakwaan
memukul anak lelaki mereka. - Foto dipetik daripada Astro Awani
KUALA LUMPUR - Pihak berkuasa
Sweden memberi layanan baik kepada pasangan Malaysia yang ditahan di penjara
negara itu kerana didakwa memukul tangan seorang daripada anak mereka yang
tidak bersolat.
Pengerusi Biro Aduan Komuniti
Pemuda Umno, Sheikh Nafiq Alfirdaous berkata, perkara itu dimaklumkan Duta
Besar Malaysia ke Sweden, Datuk Badruddin Ab Rahman kepada beliau menerusi
perbualan telefon hampir sejam, malam tadi.
Sheikh Nafiq berkata, beliau
juga dimaklumkan bahawa pasangan itu turut diberi kelengkapan untuk menunaikan
solat seperti sejadah sejak mereka ditahan 18 Disember lepas.
"Saya juga dimaklumkan
bahawa memandangkan kes ini di peringkat siasatan awal, reman diperlukan
sehingga 30 Januari ini untuk membantu siasatan dan mendapatkan maklumat
lanjut.
"Reman pihak berkuasa di
sana tiada batasan dan tiada tempoh maksimum seperti di negara kita (dua
minggu)," kata Sheikh Nafiq kepada pemberita di pejabatnya di sini, hari
ini.
Pasangan itu, Azizul Raheem
Awalludin dan isteri, Shalwati Norshal, guru yang bercuti tanpa gaji, ditahan
pada 18 Disember untuk membantu siasatan kerana didakwa memukul tangan seorang
daripada anak mereka yang tidak bersolat.
Sheikh Nafiq berkata, kedutaan
Malaysia di Sweden turut memaklumkan bahawa siasatan itu bergantung kepada tiga
situasi iaitu pertama, pihak pendakwaraya akan mengemukakan pendakwaan jika
terdapat bukti yang kukuh dan cukup.
"Kedua, jika tidak cukup
bukti, reman akan dilanjutkan dan ketiga, jika tiada apa-apa, akan gugurkan kes
dan pasangan itu akan dibebaskan," katanya.
Beliau berkata, turut
dimaklumkan pasangan itu akan diadili oleh mahkamah sivil dan seorang peguam
telah dilantik oleh pihak berkuasa Sweden bagi mewakili mereka.
Menurutnya kedutaan Malaysia
telah menemui peguam berkenaan untuk mendapatkan perkembangan lanjut dan
terkini serta sentiasa memantau situasi pasangan itu.
Mengenai empat anak pasangan
itu, Sheikh Nafiq berkata seorang lagi peguam yang dilantik kerajaan Sweden
telah berjaya dihubungi pihaknya dan sedang dalam proses untuk mengaturkan
pertemuan tidak lama lagi.
"Misi kami adalah untuk
membawa balik kanak-kanak itu atau dengan segera tukar penjagaan sementara
kepada keluarga Islam. Oleh kerana itu wakil peguam kami ingin jumpa peguam itu
untuk dapatkan penjelasan lanjut," katanya.
Kedutaan Malaysia di Sweden
memaklumkan Mahkamah Pentadbiran di bawah The Social Services Act and the Care
of Young Persons (Special Provisions) Act telah meletakkan kanak-kanak itu di
bawah pengawasan Khidmat Sosial.
Mahkamah itu membuat keputusan
berdasarkan prinsip "the best interest of this children" (atas
kepentingan kanak-kanak ini) dan menyerahkan penjagaan mereka kepada keluarga
angkat terpilih mengikut kriteria, syarat dan undang-undang negara itu.
Wakil kedutaan juga telah
mendapat kebenaran untuk menemui kesemua kanak-kanak itu empat hari lepas
kerana sebelum ini hanya dapat berhubung melalui panggilan telefon, kata Sheikh
Nafiq.
Sheikh Nafiq berkata selain
itu, pihaknya juga telah menemui Timbalan Ketua Kaunselor di Kedutaan Sweden di
Malaysia Sven Theus Malmberg petang semalam untuk mendapatkan penjelasan
mengenai kes itu termasuk dari sudut undang-undang.
Menurutnya pihak terbabit faham
akan sensitiviti kes ini dan tidak mahu menggaitkannnya dengan agama Islam yang
boleh mengganggu hubungan kedua-dua negara.
Sheikh Nafiq berkata pihaknya
optimis dapat menyelesaikan kes itu dalam masa terdekat termasuk membawa pulang
kanak-kanak itu kerana mereka langsung tidak terlibat dalam sebarang kes
jenayah. – Bernama
SINAR HARIAN ONLINE 21.1.14
No comments:
Post a Comment