Ad

Friday, 10 January 2014

Pemuda kudung tidak putus asa

ERMA YUSNIDA JUSOH
11 Januari 2014
Pemuda kudung tidak putus asa
Pemuda kudung tidak putus asa Mohd Noor Harfais menguruskan ayam ternakannya walaupun kudung kaki kanannya.
KUANTAN - Seorang pemuda terpaksa menerima hakikat bahawa dirinya tidak lagi normal selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya September lalu di Jalan Kuantan - Kemaman, dekat Sungai Baging, di sini, yang mengakibatkan kaki kanannya kudung.

Dalam kejadian itu, kaki kanan Mohd Noor Harfais, 25,  putus paha kanan dan anggota itu gagal disambung semula akibat jangkitan kuman malah kini masih menjalani rawatan susulan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) secara berkala.

Menurut anak kedua daripada tujuh beradik itu, dia sudah boleh menerima kenyataan bahawa dia kini cacat kekal dalam masa sama sedih memikirkan masa depan dirinya serta keluarga memandangkan pendapatan bapanya dengan membuat keranda tidak seberapa.

“Buat masa ini, saya beri tumpuan kepada penternakan ayam kampung yang diusahakan secara sambilan sejak Julai tahun lalu.

“Namun saya menghadapi masalah dalam pemasaran kerana masih baru dalam bidang ini dan berharap ada pihak yang dapat memberi bantuan sewajarnya sama ada dari segi pemasaran, nasihat atau lain-lain bantuan,” katanya yang tinggal di Kampung Sungai Ular, di sini.

Katanya, dia juga memerlukan bantuan motosikal roda tiga bagi memudahkan pergerakannya untuk menguruskan ternakan ayam kampung yang diusahakan kerana jarak reban ayam dengan rumahnya agak jauh.

Mohd Noor Harfais berkata, kehidupan mereka sekeluarga berubah selepas kejadian malang yang menimpa dirinya malah ibunya terpaksa bekerja sebagai tukang cuci di pejabat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) untuk membantu menyara keluarga.

Katanya, dia masih diberi peluang untuk terus bekerja di kilang berkenaan tetapi dipindahkan ke bahagian pengurusan pejabat kerana keadaan dirinya yang sukar bergerak.

“Bagaimanapun, perkara itu masih belum diputuskan. Saya akan cuba berbincang dengan pihak berkenaan dalam masa terdekat.

“Sebelum ini saya menjadi harapan keluarga kerana mempunyai pendapatan agak lumayan hasil bekerja di sebuah kilang di Gebeng malah saya banyak membantu menyara perbelanjaan keluarga termasuk persekolahan empat adik.

“Malah saya juga membantu keluarga untuk membaiki rumah pusaka yang diduduki sekarang namun sejak saya ditimpa kemalangan, usaha tersebut tidak dapat dilaksanakan,” katanya.

SUMBER : SINAR HARIAN ONLINE 11.1.14

No comments:

Post a Comment