Oleh SOFIATUL SHIMA WAN CHIK
sofiatul.wanchik@kosmo.com.my
SELAMA ini, lelaki berusia 68
tahun itu tidak pernah menaiki bas untuk bergerak ke mana-mana destinasi
tempatan, sebaliknya lebih suka memandu sendiri sama ada menggunakan motosikal
atau kereta.
“Jika ingin pergi ke luar
Melaka, barulah saya menaiki bas,” ujar Wong Kiang Yong, yang ditemani
isterinya, Ho Han Jah.
Namun, bas elektrik pertama
negara yang telah dilancarkan di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka pada 6 Januari
lalu oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron menarik perhatian
pasangan tersebut.
“Saya memang tidak biasa naik
bas tetapi selepas membaca satu laporan akhbar mengenai ujian bas elektrik ini
di terminal bas Melaka Sentral, saya dan isteri terpanggil untuk mencuba.
“Ternyata bas ini bergerak
secara senyap dengan pemanduan yang lancar,” jelas Kiang Yong.
Pasangan itu merupakan antara
penumpang awal yang mencuba sistem pengangkutan bas elektrik pertama bernilai
RM1.35 juta tersebut. Ia mula diuji untuk kegunaan orang ramai pada 8 Januari
lalu.
Bas yang mempunyai kapasiti 50
penumpang iaitu 30 duduk dan 20 berdiri itu beroperasi bermula pagi hingga
petang. Waktu perjalanan dilanjutkan sehingga ke malam pada hujung minggu atau
mengikut keperluan.
Hasil projek usaha sama antara
Panorama Melaka Sdn. Bhd. (Panorama Melaka) dengan syarikat AMDAC (M) Sdn. Bhd.
(AMDAC) ini selari dengan usaha kerajaan negeri dalam merealisasikan dasar
hijau di Melaka.
Ia dikenali sebagai Bas
Elektrik Melaka telah direka dan dibiayai sepenuhnya oleh syarikat Automotif
BYD Berhad (BYD) dari Shenzhen, China.
Selain di Melaka, kenderaan
sama telah memasuki pasaran Amerika Syarikat, Belanda, China, Hong Kong dan
beberapa negara maju lain sejak tahun 2010.
PAKAR Teknikal Bas Elektrik,
Zaharuddin Mokhtar menyentuhkan Kad Pengecas (Charging Card) untuk tujuan imbasan
sebelum mengecas bateri perkhidmatan Bas Elektrik.
Ujian percubaan
Menurut Pemangku Pengurus Besar
Panorama Melaka, Mohd. Saleh Jusman, bas tersebut akan melalui ujian percubaan
operasi dan pengumpulan data kesesuaian selama tiga bulan.
“Sekiranya tidak ada apa-apa
halangan dan masalah, kemungkinan bas yang telah diluluskan boleh mula
beroperasi di Melaka pada bulan September ini,” ujarnya ketika ditemui di
Melaka Sentral baru-baru ini.
Menjelas lanjut, beliau
berkata, bas elektrik itu dijana oleh bateri ferum fosfat yang tidak mudah
meletup apabila terdedah dengan kepanasan melampau.
“Bas ini juga dilengkapkan
dengan sistem kawalan BMS untuk pemantauan voltan dan suhu bagi setiap bateri
bagi tujuan keselamatan,” katanya.
Buat peringkat percubaan
setakat ini, hanya terdapat satu stesen pengecas bas elektrik terdapat di
Melaka Sental. Masa yang diambil oleh bas yang mengandungi tiga bateri ini
ialah lima jam bagi pengecasan penuh.
“Keupayaan bateri boleh menjana
kuasa untuk bergerak lebih kurang 300 kilometer,” ujarnya yang menyatakan
jaminan ketahanan kadar efisien bateri ialah selama 16 tahun.
Menurut Saleh lagi, bas sistem
diesel menggunakan minyak diesel yang bernilai RM170 sehari manakala bas
elektrik melibatkan kos RM44.32 sehari iaitu 25 peratus daripada kos diesel.
Memandangkan bas tersebut
menggunakan cas elektrik sepenuhnya, ia mampu memelihara alam sekitar daripada
sebarang pencemaran.
YONG menunjukkan cara alat
keselamatan bas yang disediakan dalam Bas Elektrik untuk memecahkan tingkap
cermin jika berlaku kecemasan.
“Faedah menggunakan bas
elektrik ialah tiada pencemaran bunyi dan tidak ada penghasilan karbon yang
menjurus kepada pencemaran udara,” tambahnya yang menggesa penduduk Melaka
mencuba bas yang tidak dikenakan tambang sepanjang tempoh percubaan itu.
Hal ini diperakui oleh Pengarah
AMDAC, Lai Jin Yong, yang menyifatkan bahawa kos operasi bas itu lebih rendah
daripada bas diesel kerana tidak memerlukan penyelenggaraan berkala yang
melibatkan kos tinggi.
“Ini ditambah dengan ciri-ciri
keselamatan yang terdapat dalam bas ini seperti sistem televisyen litar
tertutup di bahagian belakang bas dan cermin tingkap mudah pecah untuk
kecemasan serta 11 laluan pintu kecemasan.
“Kami juga mengutamakan tempat
duduk untuk orang kelainan upaya (OKU) dan mereka yang lebih memerlukan seperti
wanita hamil dan warga emas. Tempat duduk mereka berwarna merah berbanding ungu
untuk orang biasa,” jelas Jin Yong yang turut memaklumkan bahawa terdapat 1,200
buah bas elektrik yang digunakan di seluruh dunia pada masa ini.
Keselesaan
Mengutamakan keselesaan para
pengguna, bas yang tertera ayat ‘Melaka Go Green’ ini dilihat lebih senyap,
bersih dan nyaman jauh berbanding bas diesel.
Sistem penyamanan udara pada
bas ini berkuasa secara maksimum kerana digerakkan dengan sistem putaran motor
dan tidak menggunakan piston. Ini membuatkan bas ini terasa dingin terutamanya
pada waktu siang.
Bagi memberi keselesaan dan
kesenangan golongan OKU dan warga emas, sistem suspensi hidraulik yang terdapat
pada bas ini menyenangkan laluan masuk dan keluar golongan tersebut.
RUANG duduk khas untuk
penumpang Orang Kurang Upaya turut disediakan.
Bas yang dianggap sebagai
pengangkutan awam masa hadapan akan berjalan secara percuma selama tiga bulan. Ia
melalui kawasan bersejarah dan tarikan pelancong di Bandar Hilir seperti
Bangunan Stadhuys, Dataran Pahlawan, Bukit Senjuang, Mahkota Parade dan Kota
Laksamana.
Lebih menggembirakan hati
penduduk Melaka, Saleh menjelaskan bahawa bas yang menggunakan sistem elektrik
sepenuhnya ini akan mengenakan tambang yang sama dengan bas diesel.
Menjelaskan tentang bas
berukuran 12 meter panjang dan 2.5 meter lebar tersebut, beliau menjangkakan
penggunaan bas ini akan lebih meluas untuk tempoh lima hingga 10 tahun akan
datang kerana memberikan kesan positif kepada negara.
Saleh menambah, pihaknya juga
telah mengkaji beberapa laluan di sekitar bandar raya Melaka dan dijangka
sebanyak lapan hingga 10 unit bas berkenaan akan digunakan sebagai peringkat
permulaan apabila ia mula beroperasi kelak.
KOSMO ONLINE 25.1.14
No comments:
Post a Comment