SETIAP hari ketika azan Subuh
berkumandang, seorang remaja berusia awal 20-an terkejut daripada lena.
Kemudian, dia mempersiapkan diri sebelum mengayuh sebuah basikal tua
mengelilingi seluruh kampung di Kanchong Darat, Banting di Selangor.
Rutin harian yang bermula
kira-kira pukul 7 pagi hingga 12 tengah hari itu dilakukan sebanyak tiga hingga
empat kali untuk mengutip buah kopi yang dikumpulkan daripada penduduk kampung.
Sambil sesekali matanya melilau
dan hilai tawanya memecah kesunyian kediaman yang berusia hampir 100 tahun itu,
Tan Chin Siong, 76, menceritakan semula memori dirinya ketika bergelar pengutip
kopi era 1950-an.
Pekerjaan warisan keluarga
daripada bapanya yang berasal dari China itu diturunkan kepada Chin Siong
sebelum diwarisi anak lelakinya, Meng Soo, 43.
Chin Siong berkata, pada tahun
1950-an hingga 1980-an, daerah itu dipenuhi ladang kopi kerana rata-rata
penduduk tempatan menanam kopi bagi menampung kehidupan keluarga.
Pada ketika itu, Chin Siong
mempunyai lima hingga lapan hektar ladang kopi terutama jenis kopi Liberica
yang ditanam di kawasan tanah lapang di sekitar kediamannya.
"Ketika saya masih muda,
pokok kopi sangat banyak. Semua orang kampung menanam pokok kopi sebab mudah
dijaga. Setiap hari, saya mengutip buah kopi di rumah-rumah penduduk
kampung," katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
PROSES pembungkusan adalah
peringkat terakhir pembuatan kopi di Kilang Kopi FAMA.
Teknik tradisional
Selepas hampir separuh abad
menghasilkan beras kopi melalui teknik tradisional, kini perusahaan tersebut
seumpama di hujung tanduk.
Ini kerana, kawasan tanaman
pokok kopi miliknya hanya tinggal sekangkang kera iaitu 0.8 hektar.
Sekitar pukul 1 tengah hari
ketika matahari terik memancar, anak bongsu Chin Siong iaitu Tan Meng Soo
khusyuk mengasingkan buah kopi yang sedang dikeringkan di batas beralun di
belakang rumahnya.
Meng Soo kini mengulang semula
rutin harian bapanya kira-kira 50 tahun lalu, namun dia bernasib baik kerana
tidak perlu lagi mengelilingi kampung setiap pagi.
Sebaliknya, dia hanya menunggu
panggilan telefon daripada penduduk tempatan yang masih menanam kopi di
kediaman masing-masing sebelum mengutip hasil buah kopi.
Meng Soo turut membiasakan diri
dengan rutin mengeringkan buah kopi untuk ditukar kepada beras kopi sejak
umurnya 20 tahun.
"Jika dahulu, bapa saya
menaiki basikal mengelilingi kampung kerana tidak cukup duit untuk membeli
motosikal. Sekarang lebih mudah kerana saya mengutip buah kopi menggunakan
motosikal," jelasnya.
Berbicara mengenai buah kopi
yang dikumpul itu, dia berkata, buah itu akan diproses menggunakan mesin khas
yang mempunyai bahagian kipas, pecah angin dan tapisan.
Jika dahulu, setiap beras kopi
itu dihantar kepada pengilang terutama di Taiping, namun kini, Kilang Kopi
Banting di bawah pengurusan Pembangunan Industri Asas Tani (Kopi) Lembaga
Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menghantar buah kopi di kediamannya
untuk diproses kepada beras kopi.
"Setiap kali menerima 10
hingga 20 kilogram (kg) buah kopi daripada kilang FAMA, perkara asas yang
dilakukan ialah mengasingkan buah kopi yang baik sebelum setiap buah berkenaan
dikeringkan.
"Proses pengeringan sangat
mudah iaitu sekadar meratakan semua buah kopi berkenaan di atas simen yang
dibuat seperti batas di bawah matahari yang terik.
"Semua buah kopi dibiarkan
selama enam hingga tujuh hari sehingga kering sebelum dimasukkan ke dalam mesin
pecah angin yang bertujuan mengasingkan beras kopi," tuturnya.
BUAH kopi yang ranum boleh
dipetik dalam dua tempoh berbeza iaitu dari bulan Mac hingga Jun dan September
hingga Disember.
Selain bergantung kepada FAMA,
dia turut memetik buah kopi daripada pokok yang ditanam sendiri di hadapan
kawasan pagar rumahnya.
Jelasnya, buah kopi yang
berkualiti berwarna merah dan sedikit kekuningan tdan berbau harum.
Katanya lagi, musim paling
tepat untuk memetik buah kopi ialah pada bulan Mac hingga Jun diikuti September
hingga Disember.
Bagaimanapun, sejak empat tahun
lalu, musim buah kopi ranum berubah tidak seperti 50 tahun lalu.
Menyorot sejarah kilang kopi
milik FAMA di Jalan Pulai Kanchong Darat, Banting di Selangor, Fama Corporation
(Famaco) Sdn. Bhd. ditubuhkan pada 22 Januari 1974 oleh Datuk Seri Harun Idris
yang pada ketika itu Menteri Besar Selangor.
Asalnya kilang tersebut sekadar
berfungsi sebagai pusat pengumpulan kopi penduduk sekitar sebelum beralih
kepada kilang membuat kopi pada 1980-an dengan jenama kopi Anggerek.
Difahamkan pada ketika itu
Banting memegang gelaran pengeluar tanaman kopi Liberica terbesar di Malaysia
dengan keluasan tanaman kopi 6,800 hektar.
Pembuatan kopi
Penyelaras Pengeluarannya,
Ishak Ahmad Sadali berkata, proses pembuatan kopi sehingga menjadi serbuk
melibatkan beberapa peringkat sehingga dibungkus menjadi produk kopi campuran.
"Kandungan serbuk kopi
diadun bersama bahan-bahan seperti gandum, gula, marjerin, garam termasuk soya
bertujuan menambah perisa terhadap keaslian kopi sedia ada.
"Proses pertama ialah
memanggang biji kopi di dalam ketuhar khas kira-kira 20 minit pada suhu
sehingga 200 darjah Celsius.
"Adunan akan dikacau
secara berterusan dalam kuali pembakar selama 20 minit sehingga sebati.
Kemudian adunan akan dituang ke dalam dulang besar untuk melalui proses
penyejukan dan pengeringan selama 15 minit," jelasnya.
Ishak menambah, setelah sejuk,
adunan membentuk ketulan-ketulan besar dan keras. Oleh itu semua adunan
dimasukkan ke dalam mesin pecah untuk menghasilkan serbuk kasar sebelum dikisar
menjadi serbuk halus dan dibungkus.
PROSES penyejukan beras kopi
mengambil masa kira-kira 20 minit.
Ujarnya, jenis biji kopi yang
digunakan ialah Liberica dan Robusta. Bagi pasaran tempatan, kopi jenama
Anggerek mempunyai peminatnya yang tersendiri.
"Asas kepada rahsia dan
kandungan setiap kopi pracampur tiga dalam satu dan kopi campuran yang
dihasilkan kilang ini bergantung kepada pembuatan serta adunan kopi
Anggerek," jelasnya.
Ishak menambah, kelebihan beras
kopi Liberica terletak pada aromanya yang berbau wangi.
Malah, kebanyakan produk kopi
keluaran FAMA menggunakan kira-kira 10 peratus beras kopi Liberica manakala
selebihnya adalah kopi jenis Robusta.
"Keadaan tanah di daerah
ini amat sesuai ditanam buah kopi Liberica. Selain faktor iklim, pokok
berkenaan sesuai ditanam di kawasan tanah rendah," katanya.
Menurutnya, warna beras kopi
Liberica kekuningan dan keemasan sudah cukup melambangkan betapa enaknya kopi
itu sekiranya diadun sebagai minuman.
Antara kopi pracampur tiga
dalam satu yang dihasilkan ialah kopi pracampur habbatus sauda, kopi pracampur
dengan ginseng dan kopi pracampur dengan gano serta tongkat ali.
KOSMO ONLINE 25.1.14
No comments:
Post a Comment