Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
PETALING JAYA - Masa depan
Datuk Ong Kim Swee kembali menimbulkan persoalan sama ada dia akan terus
bertindak sebagai pengendali Harimau Muda A sepenuh masa atau berkemungkinan
dilantik sebagai penolong jurulatih Harimau Malaya apabila bakal ketua
jurulatih yang menggantikan Datuk K. Rajagobal diumumkan kelak.
Itu teka-teki terbaharu
berhubung arah tuju jurulatih yang berasal dari Melaka itu, malah dia juga
mengakui masih belum mendapat kata putus mengenai status kontraknya bersama
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) biarpun sebelum ini Setiausaha Agungnya,
Datuk Hamidin Mohd. Amin telah memberikan jaminan khidmatnya akan disambung
selama dua tahun selaku jurulatih Harimau Muda A.
Walaupun begitu, Kim Swee menyatakan
kesediaan untuk menjadi penolong kepada bekas jurulatih Jepun, Philippe
Troussier jika itu yang menjadi perancangan FAM, yang dianggapnya peluang
keemasan yang sama sekali tidak akan dilepaskan.
“Jika ditanya kepada saya, saya
memang bersedia jika itu yang dimahukan FAM iaitu sebagai pembantu kepada
Troussier kerana dia seorang jurulatih berkelas dunia dan berpengalaman..sudah
tentu saya tidak akan lepaskan peluang tersebut.
“Ini memberikan banyak manfaat
kepada saya di dalam karier sebagai seorang jurulatih dan banyak perkara yang
saya dapat belajar, namun terpulang kepada FAM.
“Walaupun FAM memberikan
jaminan khidmat saya akan disambung selama dua tahun lagi tetapi saya belum
menandatangani apa-apa kontrak sama ada selaku jurulatih Harimau Muda A atau
bersama skuad kebangsaan.
“Biarlah saya fikirkan dahulu
mengenai Harimau Muda A kerana fokus utama adalah persiapan untuk Sukan Asia
2014 di Incheon, Korea Selatan, itu yang menjadi keutamaan saya," katanya
ketika ditemui selepas menonton perlawanan pusingan pertama Piala FA antara
PDRM dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) di Stadium Petaling Jaya semalam.
Buat masa ini, Kim Swee
bertindak selaku jurulatih sementara Harimau Malaya sehingga nama ketua
jurulatih baharu diumumkan dan menurut apa yang diperkatakan Hamidin, nama
pengendali baharu akan diberitahu selewat-lewatnya pada Februari ini.
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140122/su_02/Saya-sedia-jadi-penolong-Troussier#ixzz2rE2Iixy4
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment